
JEREBU: SEMUA SEKOLAH DI MELAKA DITUTUP ESOK
AYER KEROH 8 Oktober – Semua sekolah di seluruh Melaka akan ditutup esok (9 Oktober) susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) ke tahap tidak sihat yang menjejaskan kualiti udara di beberapa kawasan di negeri ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, penutupan itu membabitkan semua sekolah di bawah pentadbiran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di seluruh negeri ini.
Beliau berkata, penutupan itu juga membabitkan kesemua Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan tadika di Melaka.
Jelas beliau, keputusan itu dibuat susulan pemantauan berterusan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan laporan rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menunjukkan bacaan IPU di kawasan utama negeri ini melepasi paras 150, iaitu dalam kategori tidak sihat.
“Langkah penutupan ini dibuat demi memastikan kesihatan, keselamatan, dan kesejahteraan murid-murid, guru-guru, serta seluruh warga sekolah sentiasa terjamin,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menurut Rahmad, Jabatan Pendidikan Negeri Melaka bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah akan terus memantau perkembangan keadaan jerebu serta bacaan IPU dari semasa ke semasa mengikut garis panduan yang ditetapkan KPM.
“Justeru, kita memohon kerjasama dan keprihatinan seluruh warga pendidikan serta ibu bapa dan penjaga untuk sentiasa mengutamakan kesihatan anak-anak sepanjang tempoh ini,” katanya.
Beliau memaklumkan, sekiranya bacaan IPU berterusan melebihi paras 150, terdapat kemungkinan penutupan sekolah akan dilanjutkan pada Isnin depan.
“Apapun, ia bergantung kepada pemantauan dan pengumuman rasmi daripada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka,” katanya.
Berdasarkan data Jabatan Alam Sekitar, setakat jam 5 petang tadi, kesemua kawasan di Melaka merekodkan bacaan IPU tidak sihat melebihi 170 dengan Bukit Rambai merekodkan bacaan IPU 175; Bandaraya Melaka (174) dan Alor Gajah 171.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


