SEKTOR KOPERASI SASAR LONJAK PENDAPATAN RM100 BILION TAHUN INI

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

BANDA HILIR 9 Oktober – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyasarkan pendapatan sektor koperasi meningkat kepada RM100 bilion tahun ini, berbanding RM81.6 bilion yang direkodkan pada 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Mohd Marzuki Yasoa’ berkata, sasaran itu disokong perkembangan positif gerakan koperasi yang kini melibatkan kira-kira 16,468 koperasi di seluruh negara.

“Kalau kita lihat berdasarkan Profil dan Indeks Koperasi 2025, jumlah saham dan yuran koperasi ketika ini mencecah RM18 bilion, manakala nilai aset keseluruhan berjumlah RM181 bilion.

“Oleh itu, kita jangkakan pada tahun ini kita boleh mencapai RM100 bilion pendapatan daripada sektor koperasi.

“Profil dan Indeks Koperasi menjadi antara petunjuk aras untuk melihat kejayaan yang kita tempuh dari tahun ke tahun dalam membangunkan gerakan koperasi ke tahap lebih tinggi,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2026 Peringkat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; mantan Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim dan Pengarah SKM Negeri Melaka, Mustafa Kamal Mohd Nor.

Menurut Mohd Marzuki, SKM turut memberi penekanan terhadap penglibatan koperasi dalam sektor baharu, khususnya keterjaminan makanan dan pendigitalan.

“Penglibatan koperasi dalam sektor keterjaminan makanan menjadi antara keutamaan bagi menyokong agenda kerajaan dalam memastikan bekalan makanan negara terus terjamin.

“Ia menjadi antara agenda utama gerakan koperasi pada masa sekarang selain pendigitalan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pelbagai kementerian termasuk Kementerian Kewangan turut menyediakan bantuan khusus kepada koperasi menerusi Tabung Pusingan Modal.

Katanya, kira-kira 21 jenis bantuan ditawarkan menerusi tabung berkenaan, dengan baki peruntukan RM22 juta daripada keseluruhan RM50 juta pada tahun ini.

“Kita menggalakkan koperasi mengambil peluang yang disediakan untuk mengembangkan perniagaan kerana bimbang sekiranya bajet banyak tetapi tiada yang mahu memohon,” katanya.

Terdahulu, majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran Buku Profil Gerakan Koperasi Negeri Melaka Tahun 2026 yang memaparkan profil 35 koperasi terbaik di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

660
Kongsi :
Previous post BERMALAM DI MUZIUM: PELAJAR JADI KURATOR, SELONGKAR RAHSIA WARISAN
Next post HAMPIRI USIA SEABAD, KOPERASI PEGAWAI KERAJAAN MELAKA KEKAL DI PUNCAK