HAMPIRI USIA SEABAD, KOPERASI PEGAWAI KERAJAAN MELAKA KEKAL DI PUNCAK

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

BANDA HILIR 9 Oktober – Hampir mencecah usia satu abad, Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad terus mengekalkan peranan sebagai wadah ekonomi dan kebajikan anggotanya, dengan usaha memperkukuh perniagaan berjalan seiring perhatian terhadap kesejahteraan kira-kira 2,600 anggota.

Ditubuhkan pada 1926, koperasi berkenaan turut melakar pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai Koperasi Terbaik Negeri Melaka selama enam tahun berturut-turut, sekali gus mencerminkan keupayaannya mengekalkan prestasi dan relevan dengan keperluan anggota.

Pengerusinya, Hamram Nor, 56, berkata kejayaan berkenaan bukan hasil usaha barisan Ahli Lembaga Koperasi dan kakitangan semata-mata, sebaliknya hasil kerjasama seluruh anggota.

“Alhamdulillah, tahun ini merupakan tahun pertama saya sebagai pengerusi dan kejayaan ini adalah kejayaan semua pihak, daripada Ahli Lembaga Koperasi, kakitangan hinggalah kepada semua anggota.

“Anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk kami terus bergerak lebih maju dan mencari peluang terbaik bagi koperasi, seterusnya menjana pendapatan untuk manfaat anggota pada masa hadapan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Melaka yang disampaikan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 2026 (MAGK’26), di sini, pada Khamis.

Menurut Hamram, kekuatan koperasi tidak hanya diukur berdasarkan pencapaian ekonomi, sebaliknya turut dinilai menerusi manfaat yang dikembalikan kepada anggota dan keluarga mereka.

Katanya, aspek kebajikan diberi perhatian menerusi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk pemberian dermasiswa, sumbangan khairat kematian serta bantuan kebajikan kepada anggota dan anak anggota.

“CSR ini memang kita beri perhatian kerana koperasi bukan hanya mengenai menjana pendapatan, tetapi bagaimana kita dapat memberi manfaat dan menjaga kebajikan anggota serta keluarga mereka. Jadi, kejayaan koperasi ini sebenarnya kembali kepada anggota,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kejayaan meraih pengiktirafan secara berterusan menjadi pemangkin kepada pihak pengurusan untuk meneroka lebih banyak peluang perniagaan dan memperkukuh prestasi koperasi tanpa mengetepikan kepentingan anggota.

Beliau berharap pencapaian berkenaan bukan sahaja menjadi dorongan kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Melaka Berhad untuk terus berkembang, malah memberi inspirasi kepada gerakan koperasi lain di Melaka.

“Semoga anugerah ini menjadi semangat kepada kami dan koperasi-koperasi lain untuk mencapai tahap yang lebih baik pada masa akan datang. Terima kasih kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Kerajaan Negeri Melaka atas bimbingan serta pengiktirafan yang diberikan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

393
Kongsi :
Previous post SEKTOR KOPERASI SASAR LONJAK PENDAPATAN RM100 BILION TAHUN INI
Next post JEREBU: SAMBUTAN HARI SUKAN NEGARA MELAKA DITANGGUHKAN