JEREBU: SAMBUTAN HARI SUKAN NEGARA MELAKA DITANGGUHKAN

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 9 Oktober – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 yang dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara di beberapa kawasan di negeri ini.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan rakyat, khususnya peserta yang terlibat dalam aktiviti fizikal di kawasan terbuka.

Menurut beliau, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mencecah tahap tidak sihat menimbulkan risiko kepada kesihatan, sekali gus memerlukan langkah pencegahan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

“Seluruh rakyat Melaka dinasihatkan supaya sentiasa memantau perkembangan kualiti udara, mengurangkan aktiviti fizikal berat di luar bangunan serta mematuhi nasihat serta garis panduan kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya menerusi satu kenyataan media.

Katanya, Kerajaan Negeri Melaka turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membuat persiapan bagi menjayakan sambutan berkenaan, selain memohon maaf atas kesulitan susulan keputusan penangguhan itu.

Tarikh baharu penganjuran akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, tertakluk kepada perkembangan situasi jerebu dan tahap kualiti udara yang selamat untuk pelaksanaan aktiviti sukan.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memantau bacaan IPU, mengurangkan aktiviti fizikal berat di kawasan terbuka serta mematuhi nasihat kesihatan yang dikeluarkan oleh KKM dan JAS.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka menerusi talian 06-234 5900.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

218
Kongsi :
Previous post HAMPIRI USIA SEABAD, KOPERASI PEGAWAI KERAJAAN MELAKA KEKAL DI PUNCAK
Next post ‘INGAT DOKTOR GIGI, INGAT TULEN DENTAL’