BELANJAWAN 2027: USAHA MELAKA PERKASA TVET DAPAT PERHATIAN DAN PENGIKTIRAFAN 

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

AYER KEROH 12 Oktober – Pemilihan Melaka sebagai negeri tumpuan pelaburan dan pembangunan bakat menerusi inisiatif Melaka Centre of Excellence dalam Belanjawan 2027 membuktikan usaha Kerajaan Negeri memperkukuh ekosistem pelaburan serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan.

Pengerusi Majlis TVET Negeri Melaka Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, inisiatif berkenaan merupakan cetusan idea daripada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang merangka hala tuju serta pendekatan pelaksanaannya bagi peringkat Melaka.

“Apabila usaha kita di peringkat negeri mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan sehingga disebut dalam pembentangan belanjawan sudah tentu kita berterima kasih dan menghargai pengiktirafan yang diberikan.

“Malah pada masa sama, ia menjadi petunjuk bahawa usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bukan sesuatu yang dibuat main-main sebaliknya mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat Persekutuan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Khaidhirah berkata, pengiktirafan itu turut mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam merancang pembangunan jangka panjang.

“Perhatian Kerajaan Persekutuan terhadap inisiatif berkenaan menunjukkan hala tuju pentadbiran negeri mempunyai visi yang jelas dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi serta membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Apabila Kerajaan Persekutuan mengangkat idea yang dibangunkan di peringkat negeri untuk dimasukkan dalam belanjawan nasional ia menunjukkan usaha dan pendekatan pentadbiran Kerajaan Negeri turut mendapat pengiktirafan,” katanya.

Jelasnya tanggungjawab beliau kini adalah meneruskan dan menyelaras usaha berkenaan bagi memastikan inisiatif itu dapat direalisasikan seperti dirancang.

“Inisiatif Melaka Centre of Excellence dijangka menjadi antara pendekatan penting dalam menghubungkan keperluan industri dengan pembangunan bakat, khususnya melalui TVET, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat Melaka khususnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

738
Kongsi :
Previous post JEREBU: SEKOLAH DITUTUP, PKSK DAN STAM TETAP BERJALAN
Next post TAMBAHAN BANTUAN STR, SARA BERI IMPAK BESAR BUAT RAKYAT