MeSRa: DI MELAKA, SETIAP JALAN ADA CERITA..

Masa Membaca:4 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 14 Oktober – Kerajaan Negeri mempergiat usaha memperkukuh jaringan jalan raya menerusi pembinaan laluan baharu, naik taraf jalan kampung dan perbandaran serta pelaksanaan langkah pengurusan trafik bagi meningkatkan keselesaan serta keselamatan pengguna.

Sepanjang tiga tahun pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, pelbagai usaha telah dilakukan antaranya menaik taraf lebih 100 jalan kampung, pelaksanaan lebih lima projek jalan baharu serta 382 projek naik taraf jalan dengan peruntukan keseluruhan RM61.2 juta.

Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut mengemukakan permohonan bernilai RM1.086 bilion bagi 11 projek jalan baharu di bawah Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Pendekatan itu memperlihatkan tumpuan pembangunan infrastruktur jalan raya yang bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar, malah merangkumi kawasan luar bandar bagi memperbaiki akses penduduk, melancarkan pergerakan kenderaan dan menyokong pertumbuhan ekonomi setempat.

LEBIH 100 JALAN KAMPUNG DINAIK TARAF

Antara usaha yang diberi perhatian ialah pelaksanaan program Jalan Perhubungan Desa (JPD) bagi meningkatkan mutu jaringan jalan di kawasan luar bandar.

Menerusi program itu, lebih 100 jalan kampung telah dinaik taraf bagi meningkatkan keselesaan perjalanan, memperbaiki akses penduduk serta memperkukuh hubungan antara kampung dengan pekan dan kawasan pembangunan berhampiran.

Selain kerja naik taraf, Kerajaan Negeri turut melaksanakan projek jalan baharu dan merancang penambahbaikan laluan luar bandar bagi memastikan kemudahan perhubungan terus seiring dengan keperluan penduduk.

11 PROJEK JALAN BAHARU, RM1.086 BILION DIPOHON

Dalam tempoh hampir tiga tahun, lebih lima projek jalan baharu telah dilaksanakan, manakala lebih 20 projek jalan baharu dan naik taraf jalan luar bandar turut dirancang.

Bagi memperluas jaringan berkenaan, permohonan peruntukan RM1.086 bilion bagi 11 projek jalan baharu telah dikemukakan menerusi Rolling Plan 2, RMK-13, di bawah KKDW.

Antara projek yang disenaraikan ialah Jalan Pantai Siring, Mukim Serkam; jalan baharu Kampung Seri Mendapat-Tangkak; jalan baharu Halal Hub-Kawasan Perindustrian Merlimau; jalan baharu Paya Dalam-Bukit Lintang-SMK Pernu; serta jalan baharu Masjid Tanah-Kampung Ayer Hitam Darat.

Projek berkenaan dirancang bagi memperbaiki akses ke kawasan penempatan dan pembangunan, selain memudahkan pergerakan penduduk serta menyokong aktiviti ekonomi setempat.

9 PROJEK TUMPUAN TANGANI KESESAKAN

Bagi menangani kesesakan di beberapa laluan utama, sebanyak sembilan projek baharu dan naik taraf jalan telah diluluskan Kerajaan Persekutuan dan kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.

Antara projek berkenaan ialah naik taraf Jalan Tun Hamzah dari Persimpangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Katil ke Semabok yang melibatkan kos RM300 juta.

Turut diberi perhatian ialah pembinaan Elevated U-Turn dan Direct U-Turn dari Pulau Gadong ke Taman Cheng bernilai RM181 juta, termasuk RM50 juta bagi kerja awalan.

Selain itu, projek pembinaan jalan baharu Kuala Linggi-Ayer Molek, Masjid Tanah, melibatkan peruntukan RM125 juta, manakala pembinaan jalan baharu Persimpangan Rim-Kampung Ulu Jasin bernilai RM35.2 juta.

Projek berkenaan bertujuan meningkatkan keupayaan jaringan jalan raya, memperkemas aliran trafik serta mengurangkan tekanan kesesakan di laluan yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan.

Usaha itu turut mencerminkan kerjasama Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan dalam mengemukakan keperluan infrastruktur Melaka untuk pertimbangan dan pelaksanaan.

382 PROJEK NAIK TARAF, RM61.2 JUTA DIPERUNTUKKAN

Selain projek berskala besar, kerja naik taraf dan penyelenggaraan jalan perbandaran turut menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan infrastruktur negeri.

Sebanyak 382 projek naik taraf dilaksanakan dengan peruntukan keseluruhan RM61.2 juta bagi meningkatkan mutu serta keadaan jaringan jalan sedia ada.

Menerusi Belanjawan Melaka 2026 pula, RM6.9 juta diperuntukkan bagi 11 projek strategik infrastruktur jalan yang melibatkan ketiga-tiga daerah di negeri ini.

Antara projek yang disenaraikan ialah naik taraf Persimpangan Jalan Duyong-Duyong Bestari/IKS Duyong, naik taraf Bulatan Lubok China serta naik taraf Persimpangan Jalan Chohong-Nyalas.

Kerajaan Negeri turut menyediakan RM5 juta bagi pemasangan lampu jalan di kawasan gelap di seluruh negeri sebagai langkah meningkatkan pencahayaan, keselamatan dan keselesaan pengguna.

‘NO RIGHT TURN’ DIUJI SEBAGAI PENDEKATAN ALTERNATIF

Dalam usaha menangani kesesakan, penyelesaian yang dilaksanakan tidak hanya bergantung pada pembinaan jalan baharu, sebaliknya turut merangkumi penambahbaikan pengurusan trafik di persimpangan kritikal.

Antaranya menerusi percubaan sistem ‘No Right Turn’ di Persimpangan Stadium Hang Jebat selama 14 hari sebelum penilaian dibuat bagi menentukan keberkesanannya.

Menerusi kaedah itu, pengguna dari arah Ayer Keroh di Lebuh SPA yang sebelum ini membelok ke kanan perlu membuat pusingan U di bawah jejambat Persimpangan Cheng.

Percubaan berkenaan memberi ruang kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) menilai perubahan aliran trafik di lokasi terbabit sebelum menentukan tindakan susulan atau langkah mitigasi yang bersesuaian.

Antara persimpangan dan laluan lain yang turut turut diperkenalkan inisiatif No Right Turn adalah Persimpangan Melaka Mall, Persimpangan JKKN/Petronas Ayer Keroh, Persimpangan Jalan Perindustrian Bukit Rambai, Persimpangan Taman Ayer Keroh Heights dan Persimpangan Mahkota Parade.

Turut disenaraikan ialah Persimpangan Jalan Botanikal, Persimpangan Taman Desa Idaman di Durian Tunggal, Pekan Durian Tunggal, Jalan Klebang-Bandar Melaka, Lebuh Ayer Keroh berhampiran Mahkamah serta Persimpangan Philea Resort & Spa.

PERKUKUH MOBILITI, SOKONG PERTUMBUHAN EKONOMI

Keseluruhan inisiatif itu merangkumi beberapa lapisan pembangunan, daripada menaik taraf jalan kampung dan menyelenggara jaringan sedia ada hingga merancang laluan baharu serta memperbaiki pengurusan trafik.

Jaringan jalan yang lebih baik bukan sahaja memudahkan pergerakan harian penduduk, malah berperanan menyokong penghantaran barangan, akses ke kawasan pekerjaan dan kelancaran aktiviti ekonomi.

Dengan pelaksanaan projek naik taraf, peruntukan infrastruktur serta permohonan projek jalan baharu, Kerajaan Negeri meneruskan usaha memperbaiki jaringan perhubungan bagi memenuhi keperluan mobiliti rakyat dan pembangunan Melaka.

Pada masa sama, keberkesanan usaha itu bergantung pada kemajuan sebenar setiap projek, penyelesaian terhadap titik kesesakan serta penyelenggaraan berterusan bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai pengguna.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

657
Kongsi :
Previous post MeSRa: PERPADUAN TAK TERBINA SEHARI, MELAKA SEMAI SETIAP HARI
Next post PPSPM PERLUAS JARINGAN KORPORAT PROMOSI MELAKA RIVER CRUISE