
MELAKA BILA LARUT MALAM: IDEA RM10, KINI JADI TARIKAN JUTAAN RINGGIT
AYER KEROH 13 Oktober – Bermula dengan idea membuka pintu produk pelancongan selepas jam 11 malam pada harga serendah RM10, Melaka Bila Larut Malam kini berkembang menjadi platform pelancongan yang menggabungkan pengalaman malam, warisan budaya dan peluang ekonomi kepada peniaga tempatan.
Dalam tempoh tiga tahun, program yang diperkenalkan pada 2024 itu bukan sahaja memperluas pilihan aktiviti selepas senja, malah membuka ruang kepada pengusaha makanan dan penggiat industri pelancongan untuk meraih manfaat daripada kehadiran pengunjung.
Sehingga September 2026, program itu dilaporkan mencapai 25 edisi dengan 289,722 pengunjung serta menjana pendapatan RM2.89 juta, sekali gus memperlihatkan potensi aktiviti pelancongan malam sebagai antara tarikan tambahan negeri ini.
2024: BERMULA DENGAN IDEA RM10
Melaka Bila Larut Malam diperkenalkan pada 2024 menerusi tawaran kemasukan ke beberapa produk pelancongan terpilih selepas jam 11 malam pada harga serendah RM10 dan diadakan pada Sabtu minggu pertama setiap bulan.
Antara lokasi yang mengambil bahagian ialah Zoo Melaka, Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Panggung Bangsawan dan muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu bukan sahaja merancakkan sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2024, bahkan turut membuka peluang kepada golongan kurang berkemampuan untuk menikmati produk pelancongan negeri.
“Susulan itu, Kerajaan Negeri berhasrat untuk terus menyantuni rakyat dan memberi peluang kepada golongan-golongan yang kurang berkemampuan untuk menikmati produk pelancongan Melaka,” katanya.
Program itu kemudiannya diperluas kepada 10 produk pelancongan, selain memperkenalkan Set Kombo Menu RM10 dengan penyertaan 30 pengusaha makanan.
Sepanjang tujuh edisi pada 2024, program itu merekodkan 87,553 pengunjung domestik dan antarabangsa, memberikan asas kepada usaha memperluas konsep pelancongan selepas waktu operasi biasa.
2025: PENGUNJUNG BERTAMBAH, PENIAGA TURUT MENIKMATI MANFAAT
Jika 2024 menjadi fasa pengenalan, tahun berikutnya menyaksikan Melaka Bila Larut Malam diteruskan dengan pengisian yang semakin pelbagai.
Selain produk pelancongan, program itu turut mengetengahkan aktiviti kebudayaan dan tarikan di sekitar Sungai Melaka, di samping memperluas penyertaan pengusaha makanan menerusi Menu RM10.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, program berkenaan bukan sekadar menyediakan hiburan kepada pengunjung, malah berpotensi memberi kesan ekonomi kepada peniaga kecil.
“Hiburan itu cuma selingan, tetapi sebenarnya ia memberi kesan besar kepada masyarakat setempat, terutama penjaja kecil,” katanya.
Sebanyak 11 edisi pada 2025, sejumlah 116,714 pengunjung direkodkan, meningkat berbanding 87,553 pengunjung pada tahun sebelumnya.
Perkembangan itu menunjukkan program berkenaan semakin mendapat sambutan, selain menyediakan ruang kepada pengusaha tempatan memasarkan makanan dan produk mereka kepada pengunjung.
2026: WARISAN DAN PENGALAMAN JADI TARIKAN
Memasuki 2026, Melaka Bila Larut Malam terus diperkaya menerusi pendekatan yang menggabungkan pengalaman pelancongan dengan identiti warisan dan budaya negeri.
Antara inisiatif diperkenalkan ialah kemasukan percuma ke lokasi pelancongan terpilih bagi pengunjung yang mengenakan busana tradisional atau etnik Melaka.
Pendekatan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengunjung, malah menggalakkan masyarakat menghargai dan memartabatkan warisan budaya tempatan.
Pengisian itu turut membawa pengunjung menyusuri elemen nostalgia menerusi sketsa retro, permainan tradisional dan tayangan filem hitam putih P. Ramlee di Malaysia Heritage Studios, selain pengalaman Night Safari di Zoo Melaka.
DARIPADA EKSPERIMEN KEPADA PRODUK PELANCONGAN
Perkembangan Melaka Bila Larut Malam memperlihatkan bagaimana idea yang bermula sebagai percubaan memperluas waktu kunjungan boleh berkembang menjadi program yang menggabungkan beberapa komponen pelancongan dalam satu pengalaman.
Penerimaan luar biasa masyarakat dan pelancong terhadap program itu sebagai hasil keberanian mengetengahkan idea baharu sebelum mendapat sambutan rakyat.
Selain menawarkan pilihan aktiviti selepas senja, program itu turut menghubungkan produk pelancongan dengan perniagaan makanan dan pengalaman budaya, sekali gus memperluas pilihan aktiviti untuk penduduk serta pelancong.
Daripada tawaran tiket RM10 kepada program yang merangkumi tarikan pelancongan, makanan dan warisan, Melaka Bila Larut Malam kini menjadi antara pendekatan Kerajaan Negeri dalam memperluas pengalaman pelancongan Melaka melangkaui waktu-waktu biasa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


