PRN MELAKA: BN PERKUKUH JR DIGITAL, KUASAI ‘SERANGAN UDARA’

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

TELOK MAS 26 Oktober – Barisan Nasional (BN) Melaka akan memperkukuh pendekatan Jalinan Rakyat (JR) digital bagi meluaskan penyampaian maklumat kepada pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penggunaan media sosial perlu digerakkan seiring dengan operasi jentera di lapangan bagi memastikan maklumat berkaitan calon dan parti dapat disampaikan secara meluas kepada masyarakat.

Beliau berkata, jentera parti tidak boleh hanya bergantung kepada pendekatan konvensional, sebaliknya perlu memanfaatkan penggunaan telefon pintar dan platform digital untuk mendekati pengundi serta menghadapi cabaran kempen.

“Peringatan melalui dunia siber ini, serangan udara ini juga mesti dibuat. Insya-Allah, kaedahnya nanti, kita akan bentangkan secara terperinci,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Kota Melaka di Bilik Gerakan BN Telok Mas, di sini, malam tadi.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka merangkap Pengerusi BN Parlimen Kota Melaka Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; penyandang kerusi DUN Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Pengerusi MIC Melaka Datuk VP Shanmugam dan Ketua MCA Bahagian Kota Melaka Datuk Wira Gan Tian Loo.

Ab Rauf turut mengingatkan seluruh jentera BN agar tidak leka, sebaliknya terus memperkukuh sokongan terhadap calon parti sepanjang tempoh kempen.

Katanya, media sosial perlu dimanfaatkan secara aktif bagi menjawab serangan pihak lawan serta memastikan maklumat tepat dapat disampaikan kepada pengundi.

“Semua orang ada telefon pintar. Gunakan media sosial untuk menjawab dan menangkis serangan pihak lawan supaya kita lebih kuat dan dapat menawan hati rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

536
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: GAGAL CARI KELEMAHAN, SERANGAN PERIBADI BAKAL JADI SENJATA LAWAN