
PROGRAM KEMASYARAKATAN MAHASISWA BUKAN HANYA KETIKA PILIHAN RAYA – ZAMBRY
TELOK MAS 26 Oktober – Program kemasyarakatan melibatkan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) bukan hanya dilaksanakan ketika musim pilihan raya, sebaliknya merupakan antara aktiviti yang dianjurkan universiti secara berterusan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, program seumpama itu dilaksanakan mengikut kesesuaian kalendar akademik khususnya selepas mahasiswa menduduki peperiksaan atau pada peringkat awal sesi pengajian.
Menurutnya, penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kemasyarakatan turut dilaksanakan oleh universiti di negeri-negeri lain dan tidak tertumpu kepada Melaka semata-mata.
“Bukan hanya semata-mata waktu nak pilihan raya malah semalam saya berada di Perak juga melibatkan pelajar-pelajar kita yang turun ke bawah.
“Sebab dia ada musimnya, khususnya selepas mereka menghadapi peperiksaan dan juga sebelum, maknanya di peringkat awal pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) – Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM) Prihatin @ Telok Mas di Masjid Al-Wathoni, Bukit Larang di sini, malam ini.
Hadir sama, Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Naib Canselor UTeM, Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, aktiviti berkenaan merupakan sebahagian daripada program kerakyatan dan kemasyarakatan yang sememangnya dilaksanakan oleh semua universiti di seluruh negara.
“Memang ini adalah sebahagian daripada program sebagai apa yang dipanggil program kerakyatan, kemasyarakatan mahasiswa dan masyarakat.
“Memang dilakukan oleh universiti-universiti seluruhnya,” katanya.
Terdahulu, seramai 170 kakitangan dan mahasiswa UTeM menyertai program kemasyarakatan di Kampung Bukit Larang, Telok Mas.
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk gotong-royong membersihkan masjid dan kawasan tanah perkuburan, kerja pengindahan kawasan tepi jalan menerusi penanaman pokok serta pelaksanaan aktiviti kebajikan untuk masyarakat setempat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


