REKOD KHIDMAT LIMA TAHUN JADI ‘SANDARAN’ TOK AJAK

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

TELOK MAS 27 Oktober – Rekod perkhidmatan selama lima tahun menjadi sandaran buat Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman untuk terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Malah dalam tempoh tiga tahun Abdul Razak yang mesra dengan panggilan Tok Ajak juga menunaikan kesemua 10 janji pilihan raya.

Menurutnya, kepercayaan diberikan parti untuk mewakili Barisan Nasional (BN) di DUN Telok Mas sekali lagi disifatkan sebagai amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

“Pertamanya, saya mengucapkan terima kasih kepada parti terutamanya Presiden UMNO dan Pengerusi BN Negeri Melaka kerana memberikan kepercayaan kepada saya untuk mewakili BN di DUN Telok Mas.

“Pastinya ada cabaran, contoh dalam masa sekarang ini bermacam cabaran tetapi kita sudah bekerja selama lima tahun dan melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

“Malah saya cukup yakin pengundi Telok Mas boleh menilai sepanjang lima tahun berkhidmat selain kesemua 10 janji yang saya kemukakan pada PRN 2021 berjaya dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Abdul Razak yang juga Pengerusi BN Parlimen Kota Melaka berkata demikian ketika ditemui selepas Program KPT SISWA UTeM Prihatin @ Melaka 2026 di Masjid Al-Wathoni, Bukit Larang, semalam.

Terdahulu, majlis disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan hadir sama Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin.

Menurut Abdul Razak, pendekatan berteraskan slogan Melaka Sayang Rakyat (MeSRA) turut diterapkan di peringkat DUN menerusi konsep ‘Tok Ajak Sayang Telok Mas’ bagi memastikan keperluan masyarakat terus diberi perhatian.

“Apabila kita menyayangi sesuatu, kita akan menjaganya dengan sebaik mungkin dan melakukan yang terbaik. Begitu juga tanggungjawab saya kepada rakyat Telok Mas yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah.

“Pendidikan dan kebajikan adalah perkara asas yang perlu kita selesaikan. Kebajikan untuk keselesaan rakyat manakala pendidikan pula untuk masa depan anak-anak.

“Apabila kedua-dua perkara ini bergerak seiring, insya-Allah usaha melaksanakan agenda pembangunan yang lain juga dapat dilakukan dengan lebih baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

254
Kongsi :
Previous post ISU MCA: ‘JANGAN BIMBANG, KITA CARI JALAN PENYELESAIAN’ – ZAMBRY