
SKUASY WANITA MELAKA AKHIRI PENANTIAN 32 TAHUN RAIH EMAS
BANDA HILIR 28 Oktober – Pasukan skuasy wanita Melaka menamatkan penantian selama 32 tahun untuk meraih pingat emas acara berpasukan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 Selangor 2026 pada Ogos lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata kejayaan itu, sekali gus melakar sejarah baharu buat sukan negeri Melaka.
Katanya, kejayaan itu menjadi antara pencapaian penting kontinjen Melaka yang berjaya mengumpul keseluruhan 50 pingat, terdiri daripada 21 emas, 12 perak dan 17 gangsa, sekali gus melepasi sasaran 20 pingat emas yang ditetapkan.
“Pencapaian ini membuktikan keupayaan anak Melaka untuk bersaing, mengatasi cabaran dan mencipta kecemerlangan di pentas sukan tanah air.
“Pencapaian kontinjen Melaka pada SUKMA dan Para SUKMA kali ini bukan sekadar angka dalam pungutan pingat, tetapi cerminan keupayaan anak-anak negeri untuk bersaing, mengatasi cabaran dan mencipta kecemerlangan di pentas sukan tanah air,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Penyampaian Insentif Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dan PARA SUKMA 2026 di sebuah hotel di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, selain kejayaan skuasy wanita, pasukan pencak silat Melaka turut mencuri perhatian apabila muncul juara keseluruhan, sekali gus mengukuhkan pencapaian negeri Melaka dalam temasya tersebut.A
Ab Rauf berkata, atlet Para SUKMA Melaka turut membuktikan kemampuan mereka menerusi kutipan empat pingat emas, 12 perak dan 18 gangsa.
Menurutnya, kejayaan yang dicapai atlet merupakan hasil pengorbanan, disiplin dan ketekunan yang tidak ternilai, selain sokongan berterusan semua pihak termasuk jurulatih, persatuan sukan dan pengurusan kontinjen.
“Biar Melaka kecil pada peta, tetapi jangan sekali-kali kecil pada cita-cita.
“Biar kita tidak besar dari segi keluasan, tetapi kita mampu melahirkan juara yang besar jiwanya, tinggi semangat juangnya dan hebat pencapaiannya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


