
MAIM SALUR RM36,300, SEDIA 11 KOMPUTER UNTUK 9 SRA JAIM
AYER KEROH 28 Oktober – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memperuntukkan RM36,300 bagi menyediakan 11 unit komputer kepada sembilan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menerusi Saham Wakaf di bawah Wakaf Pendidikan.
Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, sumbangan itu dilaksanakan dalam dua fasa pada 26 dan 28 Oktober bagi membantu memperkukuh kemudahan pembelajaran serta menyokong keperluan warga pendidik.
“Setiap unit komputer yang disumbangkan bernilai RM3,300, menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM36,300,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Pada fasa pertama Program Penyerahan Sumbangan Komputer, enam unit komputer diserahkan kepada lima sekolah pada 26 Oktober, iaitu SRA JAIM Sungai Rambai, SRA JAIM Pulai 2, SRA JAIM Paya Redan, SRA JAIM Tehel 2 dan SRA JAIM Seri Duyong.
Fasa kedua pada 28 Oktober pula membabitkan penyerahan lima unit komputer kepada empat sekolah, iaitu SRA JAIM Pengkalan Perigi, SRA JAIM Telok Berembang 2, SRA JAIM Simpang Empat dan SRA JAIM Ayer Keroh.
Menurut Shaifulfazlee, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen MAIM untuk terus memperkasa ekosistem pendidikan Islam di Melaka, khususnya melalui penyediaan kemudahan yang memberi manfaat secara langsung kepada warga pendidik dan pelajar.
“Pada tahun lalu, sebanyak dua unit komputer disumbangkan kepada SRA JAIM Seri Bandar untuk kegunaan warga pendidik. Tahun ini, jumlah sumbangan meningkat kepada 11 unit komputer.
“MAIM akan terus komited memperkasa ekosistem pendidikan Islam menerusi pelaksanaan inisiatif seumpama ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


