ISTERI TPM, TOK HAMEED SANTUNI ANAK ISTIMEWA AYER LIMAU

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER LIMAU 28 Oktober – Lebih 150 anak istimewa dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau dihimpunkan menerusi Majlis Ramah Mesra Anak-Anak Syurga DUN Ayer Limau di Cafe Simpang, Masjid Tanah, di sini.

Program itu diserikan dengan kehadiran isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Utama Hamidah Khamis, sekali gus menjadi lambang keprihatinan terhadap anak istimewa, selain memastikan golongan itu terus mendapat perhatian serta ruang untuk mengembangkan potensi diri.

Penyandang kerusi DUN Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, anak istimewa tidak seharusnya dipinggirkan kerana mereka juga mempunyai masa depan dan berpotensi memainkan peranan dalam masyarakat.

Beliau yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, penganjuran program seumpama itu merupakan antara usaha berterusan di kawasan berkenaan untuk mendekati golongan itu serta memastikan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian.

“Ini adalah rutin di DUN Ayer Limau. Kita tidak pernah melupakan anak-anak istimewa ini kerana bagi saya, mereka juga perlu diberi ruang dan peluang kerana mereka juga mempunyai masa depan.

“Mereka juga boleh diaktifkan untuk berfungsi dalam masyarakat. Sebab itu, saya sentiasa melihat mereka sebagai sebahagian daripada masa depan DUN Ayer Limau,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum.

Hameed berkata, inisiatif mendekati anak istimewa akan diteruskan bagi memastikan mereka tidak berasa tersisih daripada arus pembangunan, selain mengukuhkan hubungan kemasyarakatan.

Dalam pada itu, beliau berharap semangat muafakat dan kekeluargaan yang terjalin dalam kalangan masyarakat DUN Ayer Limau sepanjang lima tahun lalu dapat terus dipelihara, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Katanya, perbezaan pandangan dan pendirian politik tidak seharusnya menjadi punca perpecahan sehingga menjejaskan hubungan silaturahim dalam masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1341
Kongsi :
Previous post MAIM SALUR RM36,300, SEDIA 11 KOMPUTER UNTUK 9 SRA JAIM