
PRN MELAKA: ABDUL HAKIM UTAMAKAN KEBAJIKAN RAKYAT LENDU
LENDU 31 Oktober – Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N04 Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid memilih untuk berkempen secara sihat sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 berlangsung.
Abdul Hakim yang juga Ketua Pemuda UMNO Negeri Melaka merangkap Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah berkata, kempen secara sihat itu juga amat sesuai dengan negeri ini yang terkenal dengan masyarakat yang peramah.
“Sebelum ini kepimpinan tertinggi BN acap kali mengingatkan bahawa kita di Melaka ini menolak kempen berunsur hasutan dan jahat yang akhirnya akan memecahbelahkan rakyat.
“Sepanjang tempoh kempen ini saya memilih pendekatan menyantuni rakyat dan mendengar keluhan mereka di akar umbi. Aspek kebajikan masyarakat menjadi keutamaan dan saya bersedia untuk berkhidmat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Alor Gajah, Lendu, di sini, hari ini.
Dia yang diberi kepercayaan untuk terus mempertahankan kerusi milik BN itu turut meluahkan rasa syukur kerana proses penamaan calon berjalan lancar dalam suasana tenang dan harmoni.
Bagi kerusi DUN Lendu Abdul Hakim yang juga calon nombor satu dicabar Nazri Ramli mewakili Bersatu.
Berdasarkan rekod semasa SPR seramai 15,043 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih pada PRN Melaka ke-16.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


