PRN MELAKA: 65 CALON LELAKI, 14 WANITA BERTANDING DI 28 KERUSI DUN

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 31 Oktober – Persaingan merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Pilihan Raya Negeri Melaka Ke-16 menyaksikan calon lelaki mendominasi senarai pertandingan apabila mewakili 82.3 peratus daripada keseluruhan calon.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun berkata, daripada 79 calon yang disahkan bertanding seramai 65 adalah lelaki berbanding hanya 14 atau 17.7 peratus wanita.

Katanya, pecahan mengikut jantina itu direkodkan selepas proses penamaan calon selesai di 28 Pusat Penamaan Calon (PPC) seluruh negeri hari ini.

“Keseluruhan 79 calon daripada pelbagai parti politik dan calon Bebas disahkan layak bertanding pada PRN Melaka kali ini.

“Daripada jumlah itu Pakatan Harapan (PH) meletakkan 24 calon, Barisan Nasional (BN) sebanyak 23 calon, Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) dengan 16 calon, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tujuh calon dan Perikatan Nasional (PN) lima calon,

“Manakala Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) meletakkan seorang calon dan tiga lagi bertanding sebagai calon Bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Melaka Ke-16 Hari Penamaan Calon di Menara Persekutuan di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta kenamaan lain.

Tambah Ramlan, tiada kertas penamaan calon ditolak sepanjang proses penamaan calon berlangsung di 28 DUN seluruh negeri.

PRN Melaka Ke-16 menetapkan 14 November sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

306
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: JASMINE MAHU ANAK MUDA KEMBALI BERKARYA DI BANDAR HILIR
Next post PRN MELAKA: BILIK GERAKAN SPRM BEROPERASI 24 JAM