TOK AJAK YAKIN TELOK MAS ‘KEKAL BIRU’

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

TELOK MAS 31 Oktober – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman yakin Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Abdul Razak yang juga Pengerusi BN Parlimen Kota Melaka berkata, keyakinan itu bersandarkan sokongan diterima selain rekod sepanjang lima tahun menjadi wakil rakyat di DUN berkenaan.

Katanya, usaha akan digandakan bagiΒ mendapatkan semula mandat pengundi pada 14 November ini, sekali gus memastikan kesinambungan khidmat kepada masyarakat di DUN Telok Mas.

“Alhamdulillah, kita telah selesai proses penamaan calon dan di DUN Telok Mas N23 seramai tiga orang calon menawarkan diri untuk bertanding.

“Jika kita ukur berdasarkan sokongan kepada calon yang menawarkan diri kita dapat lihat lautan biru pada majlis penamaan calon di DUN Telok Mas. Sebagai wakil calon ataupun sebagai calon BN, insya-Allah, saya yakin di DUN Telok Mas ini kita boleh kekalkan kepada BN.

“Untuk itu saya mohon kepada pengundi-pengundi di dalam DUN Telok Mas ini, berilah sokongan dan undi kepada saya pada 14 haribulan nanti kerana Tok Ajak sayang Telok Mas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon PRN Melaka Ke-16, di Bilik Gerakan BN DUN Telok Mas, di Bukit Punggur, hari ini.

Menurut Abdul Razak, dengan keyakinan itu ia bukan bermakna BN boleh mengambil mudah persaingan sebaliknya parti itu perlu terus berusaha mendapatkan kepercayaan pengundi khususnya.

“Apa pun kita perlu berusaha untuk mendapatkan kepercayaan dan mandat pengundi.

“Kita telah melaksanakan tanggungjawab selama lima tahun malah saya sendiri sebagai wakil rakyat di DUN Telok Mas (sebelum ini) tidak henti memberikan khidmat serta juga menunaikan tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat,” katanya.

Sementara itu hasil cabutan undi Abdul Razak diumumkan sebagai calon nombor dua bakal berdepan saingan Kapten (B) Mohamad Jaafar mewakili Pakatan Harapan (PH) dan Muhammad Hazwan Mustafa, calon BERSAMA.

Pada PRN Melaka Ke-15, Abdul Razak memenangi kerusi DUN Telok Mas selepas menewaskan calon PN, Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen, dalam saingan empat penjuru dengan memperoleh 6,052 undi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

194
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA JADI PENTAS FORMULA POLITIK BAHARU UMNO-PAS MENUJU PRU – MOHAMED KHALED
Next post PRN MELAKA: JASMINE MAHU ANAK MUDA KEMBALI BERKARYA DI BANDAR HILIR