PRN MELAKA: RAIS ZIARAH SENIMAN DONDANG SAYANG UZUR

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

SUNGAI UDANG 2 November – Pernah menghiburkan masyarakat menerusi alunan Dondang Sayang dan keistimewaan berpantun secara spontan, namun kini seorang tokoh seni warisan Melaka, Datuk Mohd Baharin Mohd Sharip memerlukan perhatian selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.

Keadaan itu mendapat perhatian calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin yang mengambil kesempatan menziarahi tokoh seni berkenaan bagi bertanya khabar serta mendapatkan perkembangan terkini keadaannya.

Rais berkata, Mohd Baharin bukan sahaja dikenali sebagai penyanyi Dondang Sayang, malah memiliki keistimewaan dalam seni berpantun secara spontan yang menjadi antara identiti penting warisan seni tradisional Melaka.

Menurutnya, sumbangan dan keistimewaan tokoh seni berkenaan wajar terus dihargai, justeru beliau berhasrat menyampaikan keperluan keluarga itu kepada menteri berkaitan bagi mengatur kunjungan serta melihat bentuk bantuan yang boleh disalurkan.

“Beliau memang ada beberapa perkara yang diperlukan. Insya-Allah, sebelum ini pun kita memang membantu dan dalam masa sekarang, apa-apa perkara yang diperlukan saya akan salurkan kepada pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan ziarah kasih kediaman Mohd Baharin, di Bertam Ulu, di sini, semalam.

Rais berkata, Mohd Baharin juga pernah diangkat sebagai ikon seni masyarakat DUN Sungai Udang menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Sungai Udang sebelum ini.

Sementara itu, anaknya, Junaidah Baharin, 54, berkata, keadaan kesihatan bapanya mula merosot kira-kira enam bulan lalu selepas mengalami demam sehingga menyebabkannya tidak lagi mampu bangun seperti biasa.

Menurutnya, keluarga kini menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak dua bulan lalu, namun masih memerlukan beberapa keperluan asas termasuk susu khas dan kerusi roda bagi memudahkan pergerakan bapanya.

“Sekarang saya perlukan susu dan kerusi roda kerana mahu bawa ayah berjalan pada waktu petang. Dia masih boleh bercakap dan menggerakkan tangan serta kaki, jadi saya mahu cuba bantu dia bergerak,” katanya.

Junaidah berkata, kunjungan itu memberi peluang kepada keluarga menyampaikan sendiri keperluan yang masih belum dipenuhi, selain berharap bantuan berkenaan dapat dipertimbangkan bagi memudahkan urusan penjagaan bapanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

873
Kongsi :
Previous post DALAM DIAM TOK RAUF, YB ROSLI BANTU RINGANKAN BEBAN NELAYAN
Next post TEKNOLOGI HIBRID BUKA DIMENSI BAHARU INDUSTRI AUTOMOTIF MELAKA