BERLAYAR DENGAN RAJA EMA, NIKMATI PESONA SUNGAI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

DUYONG 4 November – Pelayaran menyusuri Sungai Melaka bakal menawarkan pengalaman berbeza apabila selebriti tanah air, Raja Ema dijadualkan bertemu peminat menerusi program ‘Cruise & Closeup with Raja Ema’ pada 28 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Shaharul Azuar Idris berkata, program yang berlangsung menerusi perkhidmatan Melaka River Cruise itu memberi peluang kepada peserta menikmati pelayaran santai sambil beramah mesra dengan selebriti berkenaan dalam suasana lebih dekat dan eksklusif.

Menurutnya, pengalaman itu turut dilengkapi hidangan minum petang bagi memberikan kelainan kepada pengunjung sepanjang pelayaran.

“Peserta berpeluang menikmati keindahan panorama Sungai Melaka yang menjadi antara produk pelancongan ikonik negeri ini, selain mengabadikan kenangan menerusi pengalaman bersama Raja Ema.

“Bagi menyertai program itu, tiga pilihan pakej ditawarkan pada harga RM175, RM205 dan RM255 dengan setiap pakej menyediakan keistimewaan tersendiri kepada peserta,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Shaharul Azuar berkata, program itu dijangka menarik minat peminat Raja Ema selain pengunjung yang ingin merasai pengalaman pelayaran berbeza dengan gabungan elemen hiburan dan santai.

Katanya, penganjuran aktiviti seumpama itu turut menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan Melaka menerusi kepelbagaian pengalaman yang ditawarkan kepada pengunjung.

“Penganjuran program ini turut memberi nilai tambah kepada produk pelancongan Melaka menerusi kepelbagaian aktiviti yang mampu menarik pengunjung untuk menikmati keunikan Sungai Melaka.

“Orang ramai yang berminat boleh membuat pendaftaran dengan mengimbas kod QR pada poster promosi program bagi mendapatkan peluang menyertai pengalaman eksklusif ini,” katanya.

Program yang dijadual berlangsung pada 28 November 2026 itu menawarkan tiga pilihan pakej iaitu Pakej Sayang berharga RM175, Pakej Mawar Merah (RM205) dan Pakej Queen Control (RM255).

Pakej Sayang merangkumi tiket Melaka River Cruise dan Melaka River Park, hidangan minum petang serta satu cenderamata eksklusif Melaka River Cruise.

Pakej Mawar Merah pula menawarkan kemudahan sama bersama tambahan sehelai baju-T, manakala Pakej Queen Control menyediakan tiga cenderamata eksklusif Melaka River Cruise, sehelai baju-T, sekeping poskad bergambar bersama Raja Ema serta satu produk Raja Ema iaitu acar buah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

274
Kongsi :
Previous post MELAKA RANCANG EKOSISTEM PUSAT DATA AI BERKUASA SEHINGGA 2GW
Next post MELAKA SASAR LAHIR LEBIH RAMAI PAKAR TEKNOLOGI TENAGA