
AYER LIMAU SIAPKAN PELAPIS PEMIMPIN, PEMBANGUNAN TERUS DIPERKASA
AYER LIMAU 4 November – Pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan golongan muda terus menjadi keutamaan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N03 Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer bagi memastikan kawasan itu mempunyai barisan pelapis kepimpinan berwibawa pada masa hadapan.
Beliau berkata, usaha berkenaan dilaksanakan sebagai persediaan melahirkan generasi pemimpin yang mampu meneruskan agenda pembangunan dan menguruskan DUN Ayer Limau dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
Katanya, golongan remaja berusia 15 hingga 16 tahun turut diberi peluang menyertai pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi membina pengalaman, keyakinan serta kemahiran kepimpinan sejak awal.
“Apabila terlibat secara langsung dalam program yang dianjurkan, mereka mendapat pengalaman amat berguna untuk melaksanakan perkara sama pada masa hadapan, khususnya apabila bergelar pemimpin nanti.
“Selain itu, usaha ini juga bertujuan menyuburkan keharmonian, mengukuhkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Ayer Limau menerusi falsafah Poghut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, membuka ruang kepada golongan muda untuk memainkan peranan dalam masyarakat serta memastikan keharmonian terus terpelihara merupakan dua elemen penting bagi menjamin kemakmuran DUN Ayer Limau.
Jelasnya, perpaduan yang kukuh turut menjadi asas kepada kelancaran perancangan pembangunan dan pengembangan aktiviti ekonomi yang mampu memberikan manfaat kepada seluruh masyarakat.
Dalam pada itu, menyentuh aspek pembangunan infrastruktur, Hameed berkata, penyediaan kemudahan awam di kawasan berkenaan dilaksanakan secara berterusan dan mengikut keperluan semasa.
Katanya, pertambahan penduduk serta pembukaan kawasan perumahan baharu perlu disusuli penyediaan infrastruktur mencukupi bagi memastikan kelancaran urusan harian masyarakat.
“Sebagai contoh, di Kampung Sungai Siput, penyediaan kemudahan infrastruktur sudah mencapai lebih 80 peratus.
“Namun, saya tidak boleh mengatakan semuanya sudah mencukupi atau mencapai 100 peratus kerana keperluan kemudahan awam akan terus bertambah mengikut peredaran masa.
“Jumlah penduduk semakin meningkat dan rumah semakin bertambah, jadi kemudahan seperti longkang serta infrastruktur lain perlu diberikan perhatian dari semasa ke semasa,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


