PRN MELAKA: KALSOM SEPERTI IBU SAYA, TETAP BERSAMA PERJUANGAN BN – SITI AISYAH

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PENGKALAN BATU 4 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N15 Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood menganggap penyandang kerusi berkenaan yang juga Ketua Wanita UMNO Melaka, Datuk Kalsom Noordin seperti ibu sendiri dan akan tetap bersama perjuangan parti itu.

Beliau yang juga calon nombor satu DUN berkenaan berkata, hubungan baik yang terjalin serta sokongan Kalsom terhadap jentera parti, termasuk menerusi nasihat yang diberikan, menjadi perkembangan positif menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Menurutnya, beliau memahami perasaan individu yang sudah lama terlibat dalam perjuangan politik di kawasan itu dan berharap semua pihak diberikan ruang serta masa dalam menghadapi perkembangan politik semasa.

“Tapi itulah, orang lama kan. Kita faham perasaan hati dia. Tapi saya yakin, jauh di sudut hati dia, dia bersama kita juga. Tak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Bilik Gerakan BN DUN Pengkalan Batu, Peringgit, yang turut dihadiri Kalsom, di sini, semalam.

Siti Aisyah berkata, Kalsom turut memberikan nasihat serta sokongan kepada jentera parti, sekali gus menunjukkan hubungan dan kebersamaan yang masih terjalin.

Beliau turut menyifatkan kehadiran serta sokongan kepimpinan parti, termasuk Pengerusi BN Melaka merangkap Ketua Menteri sebagai suntikan semangat kepada jentera BN dalam menghadapi PRN kali ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

286
Kongsi :
Previous post PENGURUSAN BEKALAN TENAGA PERLU SEIRING PELABURAN PUSAT DATA MELAKA
Next post LOJI EDRA 2,242MW ASET STRATEGIK JAMIN BEKALAN ELEKTRIK NEGARA