PRN MELAKA: MISI MENANG 25 KERUSI, BN-PN MAHU LUASKAN PENGUASAAN

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER MOLEK 3 November – Barisan Nasional (BN) menyasarkan peningkatan penguasaan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 21 kepada 25 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 menerusi kesepakatan dan kerjasama politik bersama Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi BN Negeri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, sasaran itu akan diusahakan menerusi penyelarasan gerak kerja jentera parti, termasuk membantu calon di empat kerusi tambahan yang menjadi tumpuan.

Menurutnya, kesepakatan berkenaan perlu diterjemahkan melalui gerak kerja kempen yang tersusun, usaha meraih sokongan pengundi serta penyelarasan bilik gerakan di setiap kawasan.

“Daripada 28 kerusi, 21 sepatutnya dipertandingkan oleh BN dan kita mendapat tambahan dua (kerusi) menjadikan 23. Jadi kita akan cuba membantu sebaik mungkin untuk menambahkan lagi kedudukan kita daripada 21, mungkin insya-Allah akan menjadi 25 (kerusi dimenangi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Bilik Gerakan DUN Ayer Molek, di sini, hari ini.

Turut hadir calon BN DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan calon PN DUN Bukit Katil, Ridzuan Sarif.

Ab Rauf berkata, kerjasama berkenaan memerlukan komitmen semua pihak bagi memastikan kesepakatan yang dimeterai dapat diterjemahkan melalui tindakan sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, penyelarasan gerak kerja itu juga penting bagi memastikan setiap jentera bergerak dalam satu hala tuju serta menyampaikan mesej kempen yang selaras kepada pengundi.

Beliau berharap kerjasama politik berkenaan dapat diterjemahkan pada hari pengundian, 14 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

327
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA : CALON PRN MELAKA PERLU BERKEMPEN SECARA BERSIH – AHMAD ZAHID
Next post PRN MELAKA: AB RAUF PERJELAS PUNCA PROJEK TERBENGKALAI, SEDIA BANTU PULIHKAN