
PRN MELAKA: PESANAN ‘ORANG LAMA’ BUAT YB HELMY
DUYONG 4 November – Pengalaman dan khidmat calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dalam mendekati masyarakat antara yang menjadi perhatian veteran UMNO, Yaacob Ab Majid.
Yaacob, 81, berkata, berdasarkan pengalamannya sepanjang terbabit dalam politik sebelum ini, pendekatan penyandang DUN Duyong itu yang menjadikan turun padang sebagai rutin dan mengambil tahu pemasalahan penduduk memperlihatkan keprihatinannya terhadap kebajikan rakyat.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat, seseorang pemimpin tidak seharusnya membezakan masyarakat berdasarkan fahaman atau sokongan politik, sebaliknya perlu memberikan perhatian sama rata kepada semua penduduk.
“Saya pernah berpesan kepada beliau supaya jangan kira orang UMNO, PAS atau Bersatu kerana semuanya rakyat yang perlu diberikan perhatian.
“Alhamdulillah, setakat ini nampaknya dia menjalankan tugas dengan baik dan kerap datang berjumpa saya serta mengambil tahu hal masyarakat,” katanya.
Warga emas itu berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan ziarah kasih penyandang DUN Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem ke rumahnya di Kampung Bukit Serindit, pada Isnin.
Yaacob berkata, perkara paling penting dalam kepimpinan generasi muda adalah melihat kemampuan dengan mengukur keupayaan diri serta memikul tanggungjawab terhadap rakyat selepas diberikan mandat.
“Ketika pertama kali ingin bertanding, dia ada datang berjumpa dengan saya untuk meminta nasihat. Saya menasihatinya untuk menilai kemampuan diri sebelum memikul amanah sebagai wakil rakyat.
“Saya tanya dia, adakah sudah ukur diri sendiri dan ukur ‘baju di badan sendiri’ sebelum mahu menjadi wakil rakyat
“Dia menjawab insya-Allah akan cuba dan selepas itu Mohd Noor Helmy menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15 meskipun majoriti tidak terlalu banyak,” katanya.
Yaakob yang pernah memegang beberapa jawatan penting dalam UMNO termasuk Ketua Pemuda dan Ketua Penerangan berkata, dia amat berharap pada pilihan raya kali ini Mohd Noor Helmy akan memperoleh sokongan lebih besar berbanding sebelum ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


