PERMINTAAN ELEKTRIK SEMENANJUNG DIJANGKA MELONJAK 57 PERATUS MENJELANG 2035

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KUALA LINGGI 4 Disember -Permintaan terhadap bekalan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia dijangka meningkat daripada 21.3 gigawatt (GW) pada 2026 kepada 33.5GW menjelang 2035.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, perkara itu memerlukan perancangan lebih awal bagi memastikan kapasiti bekalan tenaga negara mampu menampung pertumbuhan ekonomi.

Katanya, peningkatan ketara dalam tempoh kurang sedekad itu menuntut keputusan tepat pada masanya, perancangan bersepadu serta penyediaan infrastruktur tenaga sebelum kekangan bekalan mula menjejaskan pertumbuhan negara.

“Perkembangan pesat industri bernilai tinggi termasuk pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan semikonduktor akan meningkatkan keperluan terhadap sistem bekalan elektrik yang stabil dan berdaya tahan.

“Ini merupakan peningkatan yang besar dalam tempoh kurang sedekad. Ia memerlukan keputusan tepat pada masanya, perancangan yang diselaraskan serta keupayaan menyediakan infrastruktur sebelum kekangan mula membantutkan pertumbuhan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Pada Majlis Perasmian Persidangan Penjanaan Kuasa Turbin Gas (CGNEI) 2026 di Pusat Latihan Kemahiran Turbin Gas CGNEI (CGNEI GTSTC), Loji Jana Kuasa Edra Melaka (EMPP), di Telok Gong, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Datuk Dr. Mohd Yusof Abu Bakar; Pengerusi CGN Energy International Holdings Co. Limited Zhang Chaoqun serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelaburan dalam sistem tenaga perlu merangkumi keseluruhan rantaian bekalan elektrik termasuk penjanaan, penghantaran dan pengagihan bagi memastikan bekalan dapat disalurkan dengan selamat serta cekap kepada pengguna.

Katanya, sesebuah loji janakuasa baharu hanya mampu memenuhi fungsinya sekiranya rangkaian grid mempunyai kapasiti mencukupi untuk menyalurkan tenaga elektrik ke lokasi yang memerlukannya.

“Kerajaan meletakkan penekanan tinggi terhadap usaha memperkukuh kapasiti dan daya tahan grid nasional.

“Fleksibiliti aliran tenaga elektrik yang lebih baik di seluruh Semenanjung Malaysia akan membantu kita menangani perubahan corak permintaan, menerima kemasukan sumber penjanaan baharu serta menyokong integrasi tenaga boleh baharu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

221
Kongsi :
Previous post MELAKA BINA, BAIK PULIH LEBIH 270 RUMAH RAKYAT SEJAK 2023
Next post AYER LIMAU SIAPKAN PELAPIS PEMIMPIN, PEMBANGUNAN TERUS DIPERKASA