PRN MELAKA: TIADA MANIFESTO, HELMY PERTARUH BUKTI KERJA LIMA TAHUN

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

DUYONG 5 November – Rekod perkhidmatan sepanjang lima tahun menjadi sandaran calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N21 Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dalam usaha mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Beliau yang juga calon nombor 2 DUN Duyong berkata, BN tidak menyediakan manifesto khusus bagi DUN berkenaan pada pilihan raya kali ini, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan permasalahan penduduk berdasarkan keperluan serta kemampuan yang ada.

“Masalah rakyat adalah masalah wakil rakyat. Kita selesaikan semua perkara dan usahakan sedaya upaya berdasarkan kemampuan yang ada,” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan BN DUN Duyong, di sini, hari ini.

Menurut penyandang kerusi DUN Duyong itu, pengalaman dan prestasi sepanjang tempoh lima tahun berkhidmat menjadi antara perkara yang boleh dinilai pengundi, berbanding sekadar mengemukakan tawaran atau janji baharu.

Beliau bagaimanapun mengakui masih terdapat beberapa perkara yang belum dapat disempurnakan atau dilaksanakan, namun menegaskan segala usaha telah dilakukan berdasarkan kemampuan serta peruntukan yang tersedia.

“Saya mempertaruhkan lima tahun bukti kerja, bukti usaha. Walaupun saya akui ada lagi yang tidak sempurna dan belum terlaksana, apa yang boleh saya katakan sepanjang lima tahun ini saya sudah berikan yang terbaik daripada versi saya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai ukuran prestasi seseorang wakil rakyat, Mohd Noor Helmy berkata, penilaian tidak seharusnya tertumpu kepada jumlah program yang dianjurkan semata-mata, sebaliknya perlu melihat sejauh mana permasalahan penduduk berjaya diselesaikan.

Katanya, keupayaan membantu masyarakat, mudah dihubungi serta memastikan setiap aduan mendapat tindakan sewajarnya merupakan antara perkara yang menjadi perhatian penduduk terhadap wakil rakyat mereka.

“Yang paling penting ialah hasil. Aduan selesai dan objektif kehidupan rakyat itu tercapai. Setiap perkara yang kita buat, kita bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

361
Kongsi :
Previous post USIA BUKAN PENGHALANG, TOK RAUF MAHU ANAK MUDA KEJAR CITA-CITA
Next post PRN MELAKA: AB RAUF YAKIN GADEK KEKAL BIRU