TERKEJUT TIKET MELAKA RIVER CRUISE CUMA RM10, PELANCONG RASA BERBALOI

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BANDAR HILIR 8 November – Tawaran tiket Melaka River Cruise pada harga RM10 menerusi inisiatif Melaka Bila Larut Malam bukan sahaja memberi peluang orang ramai menikmati produk pelancongan negeri pada kadar lebih rendah, malah menarik minat pengunjung dari luar Melaka untuk merasai sendiri pengalaman menelusuri Sungai Melaka.

Bagi Farah Aina Muhammad, 26, dari Kuala Lumpur, tawaran istimewa itu menjadi peluang yang tidak mahu dilepaskan apabila dia bersama keluarganya sanggup beratur bagi mendapatkan tiket berkenaan.

Menurutnya, mereka pada awalnya menyangka harga tiket sekitar RM35 adalah kadar biasa sebelum mengetahui terdapat tawaran khas pada harga RM10 menerusi inisiatif Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.

Katanya, meskipun perlu menunggu giliran, pengalaman menaiki Melaka River Cruise pada harga berkenaan ternyata berbaloi dan memberikan kenangan bermakna bersama keluarga.

“Pada mulanya kami fikir harga RM35 itu memang harga biasa, tetapi apabila mengetahui tiket hanya RM10, kami sanggup beratur untuk mendapatkan peluang merasai pengalaman ini.

“Walaupun pada awalnya tertanya-tanya apa yang boleh diperoleh dengan harga RM10, sebenarnya pengalaman yang diberikan sangat besar dan bermakna,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Jeti Muara Sungai Melaka, di sini, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Farah Aina berharap tawaran seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang memandangkan ia memberi peluang kepada lebih ramai pengunjung menikmati produk pelancongan Melaka tanpa perlu mengeluarkan belanja yang tinggi.

Menurutnya, sambutan menggalakkan terhadap tawaran itu turut memperlihatkan minat orang ramai untuk menikmati tarikan pelancongan negeri apabila ditawarkan pada harga lebih berpatutan.

Sementara itu, Fiffy Natasha Muhammad, 21, berkata, inisiatif berkenaan memberi manfaat bukan sahaja kepada penduduk Melaka, malah pengunjung dari negeri lain yang ingin menikmati pengalaman pelancongan di Bandaraya Warisan Dunia itu.

Katanya, tawaran tersebut membolehkan mereka menikmati keindahan Sungai Melaka dengan kos lebih rendah, sekali gus membuka peluang kepada lebih ramai pengunjung untuk mencuba tarikan berkenaan.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi peluang kepada rakyat menikmati pengalaman dan pemandangan di sini dengan harga yang lebih murah.

“Sebagai pengunjung dari luar Melaka, saya sangat menghargai inisiatif yang dilaksanakan kerana ia memberi peluang kepada kami menikmati tarikan pelancongan dengan harga lebih murah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

234
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ANAK MUDA PERLU DISANTUNI, BUKAN DITEKAN – RAIS