PRN MELAKA: 10 AKU JANJI ‘AH SEM’, KLINIK BAHARU HINGGA PELUANG PEKERJAAN DI MACHAP JAYA

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

MACHAP JAYA 9 November – Pembinaan klinik kesihatan baharu di Tebong, sekolah agama di Lesung Batu serta bantuan pendidikan tinggi RM200 sekali bayar antara tawaran utama calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem.

Hee Sem atau lebih dikenali sebagai Ah Sem yang juga calon nombor 1 N.08 Machap Jaya berkata, 10 aku janji yang dikemukakan itu dirangka berdasarkan keperluan penduduk yang dikenal pasti sepanjang tempoh beliau menyandang kerusi berkenaan pada penggal lalu.

Menurutnya, tawaran berkenaan merangkumi aspek kesihatan, pendidikan, perumahan, kemudahan asas, pembangunan infrastruktur serta peluang pekerjaan bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk Machap Jaya.

“Dalam lima tahun ini saya sentiasa turun ke DUN. Saya dapat tahu apa yang rakyat DUN Machap Jaya mahukan, termasuk sekolah agama dan juga kawasan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Aku Janji dan Pencapaian Calon BN N.08 Machap Jaya di Pusat Gerakan Utama BN di Lesung Batu, di sini, pada Ahad.

Mengulas aspek kesihatan, Hee Sem berkata, beliau akan terus memperjuangkan pembinaan klinik kesihatan kerajaan baharu di Tebong selain menaik taraf kemudahan klinik sedia ada bagi memperluas akses rawatan dan meningkatkan keselesaan pesakit.

“Klinik Kesihatan Tebong agak kecil dan juga sempit. Ia juga terletak di kawasan selekoh, agak berbahaya. Saya sudah mengenal pasti satu tanah seluas lapan ekar,” katanya.

Dalam bidang pendidikan pula, beliau menawarkan bantuan tambahan sekali bayar sebanyak RM200 kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pendidikan tinggi bagi meringankan beban kewangan keluarga.

Beliau turut memperjuangkan pembinaan bangunan baharu Sekolah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Lesung Batu dengan memanfaatkan ruang tersedia dalam kawasan masjid baharu seluas 11 ekar.

“Di sekitar sini belum ada sekolah agama. Apabila banyak projek perumahan sudah siap, mereka ada tempat untuk anak-anak yang hendak pergi ke sekolah agama,” katanya.

Selain itu, pembangunan tanah perkuburan Islam moden dan digital serta penyediaan tanah perkuburan Cina baharu seluas lima ekar turut disenaraikan dalam aku janji berkenaan.

Hee Sem berkata, pembangunan setempat turut diberi perhatian menerusi peluasan peluang pemilikan rumah mampu milik, pemerkasaan pelancongan dan warisan budaya tempatan serta naik taraf jalan dan sistem perparitan di kampung-kampung.

“Kita akan memohon bajet untuk menaik taraf jalan dan longkang supaya dijadikan kampung tersusun yang moden. Kita akan buat secara berperingkat untuk memohon bajet daripada pusat,” katanya.

Dari sudut pembangunan ekonomi, beliau turut menggariskan pembinaan jalan penghubung Lesung Batu-Alor Gajah serta pemerkasaan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi menarik pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Kalau tidak dapat yang besar, dapat yang kecil pun boleh, supaya kita boleh menyediakan peluang pekerjaan kepada belia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

291
Kongsi :
Previous post KITA PASTIKAN TANJUNG BIDARA MENJADI TERMASYHUR SEMULA – AB RAUF