
KITA PASTIKAN TANJUNG BIDARA MENJADI TERMASYHUR SEMULA – AB RAUF
TANJUNG BIDARA 9 November – Sejak menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menghidupkan semula pantai peranginan Tanjung Bidara.
Katanya, misi utama beliau ketika ini adalah untuk memasyhurkan semula Pantai Tanjung Bidara dan kembali ke zaman kegemilanganya sebagai destinasi percutian pilihan ramai.
Menurutnya, Pantai Tanjung Bidara memiliki potensi yang besar untuk dimajukan kerana terbukti amat popular pada suatu ketika dahulu.
“Kalau dulu Tanjung Bidara adalah antara lokasi penggambaran filem tersohor, bukan sahaja menarik penerbit filem tempatan, malah penerbit filem luar negara.
“Bintang Bollywood Datuk Shah Rukh Khan juga pernah menjalani penggambaran filem di Pantai Tanjung Bidara,” katanya ketika berucap pada Program Santai Anak Muda Tanjung Bidara di sebuah restoran, di sini, malam tadi.
Ab Rauf yang juga calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.02 Tanjung Bidara, berkata antara perancangan beliau jika terus diberikan mandat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 adalah membangunkan pusat sukan di pantai peranginan itu.
“Kita bina sebuah pusat sukan di tapak gelanggang sepak takraw yang akan dibesarkan, pentas yang ada dirobohkan agar orang Tanjung Bidara memiliki satu kawasan rekreasi dan riadah lebih selesa,” katanya.
Antara pembaharuan dilakukan Ab Rauf di Pantai Tanjung Bidara adalah membina sebuah litar lumba kereta kawalan jauh (RC) bertaraf antarabangsa.
“Saya telah ubah dan mencorakkan semula, hasilnya Tanjung Bidara semakin menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
“Potensi Tanjung Bidara lebih besar, pastinya Tanjung Bidara akan terus bangkit, hidup rakyatnya aman dan makmur,” katanya.
Kerana keindahannya, Pantai Tanjung Bidara juga dipilih sebagai lokasi penggambaran filem One 2 Ka 4 yang menampilkan bintang popular Bollywood Datuk Shah Rukh Khan bersama Juhi Chawla pada 2001.
Selain Pantai Tanjung Bidara penggambaran filem Bollywood itu turut melibatkan beberapa lokasi menarik sekitar Alor Gajah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

