MELVIN MAHU LAKSANA TIGA AGENDA UTAMA DALAM 100 HARI, BUKTI KPI

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

KOTA LAKSAMANA 10 November – Tiga agenda melibatkan kebajikan warga emas, penambahbaikan kemudahan kesihatan dan pengukuhan tahap keselamatan penduduk menjadi keutamaan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.20 Kota Laksamana, dalam tempoh 100 hari pertama sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Melvin Chua yang juga calon nombor 2 berkata, antara perancangan utama ialah menubuhkan pasukan perkhidmatan khas bergerak bagi membantu warga emas, golongan kurang berkemampuan dan individu yang memerlukan bantuan.

Bekas Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ini berkata, pendekatan itu akan dilaksanakan secara proaktif bersama pasukannya yang akan turun padang mendapatkan serta menyantuni golongan berkenaan, berbanding hanya menunggu mereka hadir ke pusat khidmat wakil rakyat.

“Selalunya, mereka yang memerlukan bantuan perlu datang ke pusat perkhidmatan tetapi pendekatan saya berbeza kerana saya akan mencari mereka dan pergi kepada mereka.

“Pasukan ini khususnya untuk warga emas, orang tua dan golongan yang tidak berkemampuan. Kita akan bantu mudahkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh ke Bilik Gerakan DUN Kota Laksamana di Jalan Hang Tuah, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Pengerusi MCA Bahagian Kota Melaka, Datuk Wira Gan Tian Loo.

Melvin berkata, agenda kedua pula melibatkan penyediaan senarai semak kemudahan asas yang perlu diberi perhatian dan diselesaikan termasuk membantu meningkatkan kemudahan di Klinik Kesihatan Tengkera.

“Hasil daripada maklum balas diterima terdapat beberapa perkara perlu diberi perhatian untuk itu kita akan cuba bantu ia bukan sahaja untuk keselesaan rakyat tetapi kakitangan yang bertugas juga.

“Usaha penambahbaikan ini juga merangkumi sistem saliran, perparitan dan longkang di kawasan yang dikenal pasti mempunyai masalah serta memerlukan tindakan,” katanya.

Sementara itu katanya, agenda ketiga yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) adalah mengemukakan permohonan untuk menaik taraf Balai Polis Tengkera serta menambah bilangan anggota polis bagi memperkukuh tahap keselamatan penduduk DUN Kota Laksamana.

“Difahamkan balai polis berkenaan hanya mempunyai kira-kira 20 anggota manakala keseluruhan populasi di DUN Kota Laksamana sekitar 80,000 penduduk.

“Untuk itu saya akan membawa permohonan supaya balai polis dapat dinaik taraf selain dapat menambah bilangan anggota di situ,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

203
Kongsi :
Previous post SPR REKOD 237 LAPORAN KESALAHAN KECIL PILIHAN RAYA
Next post SPR BELUM TERIMA LAPORAN PENUH BERKAITAN ISU SERANGAN SIBER