SPR SASAR 95 PERATUS KELUAR MENGUNDI AWAL PRN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

SUNGAI UDANG 10 November – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan jumlah pemilih keluar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 mencapai 95 peratus menjelang tamatnya pengundian petang ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, pihaknya berharap trend kehadiran pengundi yang direkodkan pada sebelah pagi terus meningkat sehingga semua pusat mengundi ditutup.

Menurutnya, proses pengundian awal secara keseluruhan melibatkan seramai 12,531 pemilih, iaitu 9,769 anggota tentera bersama pasangan dan 2,762 lagi adalah pegawai serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita harap trend ini akan terus berterusan sehingga ke petang nanti,” katanya pada sidang media pada Hari Pengundian Awal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak, di sini, hari ini.

Ramlan berkata, sebanyak 31 pusat mengundi membabitkan 50 saluran dibuka di seluruh negeri bagi pelaksanaan pengundian awal.

“Pada hari ini, alhamdulillah kita telah pun memulakan undi awal di sebanyak 31 pusat mengundi di seluruh negeri Melaka yang melibatkan sebanyak 50 saluran,” katanya.

Beliau berkata, pusat mengundi berkenaan akan ditutup secara berperingkat mengikut jadual ditetapkan SPR, dengan sebahagiannya menamatkan operasi lebih awal kerana mempunyai jumlah pengundi yang kecil.

Daripada keseluruhan pusat berkenaan, sebanyak 19 dijadualkan ditutup pada jam 12 tengah hari, diikuti tiga pada jam 2 petang.

Sembilan lagi pusat mengundi akan meneruskan operasi sehingga jam 5 petang.

Mengulas perjalanan pengundian awal, Ramlan berkata, proses berkenaan berlangsung lancar setakat pagi ini tanpa laporan insiden besar.

“Setakat ini, alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan kita tak terima insiden-insiden besar berlaku,” katanya.

Kesemua pusat mengundi awal mula dibuka pada jam 8 pagi, manakala hari pengundian biasa PRN Melaka ke-16 ditetapkan pada 14 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

177
Kongsi :
Previous post TOK AJAK TAK PERNAH BERHENTI BERKHIDMAT
Next post SPR REKOD 237 LAPORAN KESALAHAN KECIL PILIHAN RAYA