
PRN MELAKA: AB RAUF YAKIN MCA MAMPU RAIH SOKONGAN MASYARAKAT CINA
BANDARAYA MELAKA 10 November – Barisan Nasional (BN) Melaka menyasarkan kemenangan di kesemua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi MCA pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusinya, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, beliau yakin MCA mampu meraih keyakinan masyarakat Cina berdasarkan sambutan yang diterima parti itu sepanjang kempen pilihan raya kali ini.
Ab Rauf yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Negeri Melaka berkata, kehadiran masyarakat Cina pada program anjuran MCA menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh sokongan terhadap parti berkenaan.
“Kalau boleh, keempat-empat kerusi itu kita nak menang. Kita meletakkan sasaran yang tinggi dan insya-Allah kita boleh menang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Bersama NGO Masyarakat Cina di sebuah restoran di sini, malam tadi.
Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MCA, Dr. Mah Hang Soon; Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon; Pengerusi MCA Melaka, Datuk Wira Lim Ban Hong; Timbalan Pengerusi MCA Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem serta Pengerusi Bahagian MCA Kota Melaka, Datuk Wira Gan Tian Loo.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, BN dan MCA tidak hanya memberi tumpuan kepada kempen sepanjang tempoh pilihan raya, sebaliknya turut mengetengahkan rekod perkhidmatan serta usaha yang telah dilaksanakan sejak dua tahun lalu.
Menurutnya, rekod berkenaan menjadi asas untuk meyakinkan rakyat bahawa segala tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebelum ini akan terus dilaksanakan sekiranya BN memperoleh mandat baharu.
“Kita sebenarnya sudah melakukan kerja sejak dua tahun lalu. Kali ini kita hanya memperlihatkan apa yang telah kita lakukan dan memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa segala usaha itu akan diteruskan selepas kita memperoleh mandat baharu.
“Kita tidak berhenti apabila menerima tanggungjawab dan amanah. Amanah itu akan terus kita pikul sebagai perkhidmatan kepada rakyat kerana rakyat adalah sebahagian daripada kehidupan saya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


