MISI ‘ALONG’ BELUM SELESAI DI ASAHAN

Masa Membaca:2 Minit, 54 Saat

ASAHAN 12 November – Menyelesaikan isu infrastruktur, memperjuangkan pemilikan kediaman generasi kedua FELCRA, meningkatkan kemudahan perumahan serta memperkukuh pendidikan menjadi antara agenda yang mahu diteruskan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Berbekalkan pengalaman berkhidmat selama empat tahun 10 bulan sebagai wakil rakyat, Fairul Nizam yang mesra dikenali sebagai YB Along berkata, masih terdapat beberapa keperluan penduduk yang memerlukan perhatian dan tindakan susulan bagi memastikan pembangunan serta kesejahteraan masyarakat Asahan terus diperkukuh.

TUKAR PAIP LAMA, BANGUNKAN BALAI BOMBA

Antara perkara yang menjadi keutamaannya ialah menyelesaikan masalah paip lama dari Pekan Nyalas hingga Sungai Dua, meneruskan pembinaan balai bomba serta menuntaskan urusan pemilikan rumah generasi kedua FELCRA yang masih dalam proses.

“Sudah semestinya kita akan sambungkan mana yang belum selesai, contohnya pembinaan balai bomba.

“Kemudian, kita nak selesaikan masalah paip lama di Pekan Nyalas sampai ke Sungai Dua.

“Kita akan selesaikan juga urusan rumah generasi kedua FELCRA yang sekarang ini masih dalam proses. Saya akan pikul tanggungjawab ini sampai selesai,” katanya.

Selain pembangunan infrastruktur, beliau turut meletakkan peningkatan tahap pendidikan anak-anak di DUN Asahan sebagai keutamaan bagi memastikan generasi muda mendapat peluang lebih baik untuk membina masa depan.

“Yang paling penting bagi saya adalah peningkatan tahap pendidikan untuk anak-anak dalam DUN Asahan,” katanya.

TANDAS BAHARU UNTUK RUMAH ORANG ASLI

Dalam memastikan tiada kelompok masyarakat tercicir daripada arus pembangunan, keperluan kediaman dan kemudahan asas masyarakat Orang Asli di DUN Asahan turut menjadi antara perkara yang mahu diberi perhatian.

Fairul Nizam berkata, sebanyak 18 kediaman masyarakat Orang Asli yang berada dalam keadaan usang dan daif sebelum ini telah melalui kerja-kerja baik pulih.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat 24 rumah yang memerlukan pembinaan tandas baharu berikutan kemudahan sedia ada sudah terlalu uzur dan tidak lagi boleh digunakan.

“Untuk tahun hadapan, sekiranya terus diberikan mandat, kita mahu menyelesaikan pula masalah tandas ini.

“Kediaman mereka bukan tiada tandas, tetapi tandas sedia ada sudah tidak boleh digunakan kerana terlalu lama. Jadi, 24 rumah ini memerlukan tandas baharu,” katanya.

Menurutnya, isu kepadatan penghuni dalam sesebuah kediaman juga memerlukan perhatian apabila terdapat rumah yang menempatkan sehingga tiga atau empat keluarga di bawah satu bumbung.

Justeru, beliau berhasrat membawa perkara itu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) supaya keperluan keluarga terlibat dapat dinilai dan bantuan sewajarnya disalurkan menerusi agensi berkaitan.

“Terdapat ramai lagi masyarakat Orang Asli yang tinggal serumah beramai-ramai, malah ada yang menghuni tiga hingga empat keluarga dalam satu rumah.

“Untuk itu, kita mahu meminta JKM mengetengahkan isu ini supaya agensi berkaitan dapat membantu.

“Kebajikan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli ini sentiasa menjadi fokus agar mereka dapat menikmati kehidupan lebih selesa serta berkualiti,” katanya.

PELIHARA PERPADUAN RAKYAT

Dalam pada itu, Fairul Nizam menegaskan komitmennya untuk terus memelihara keharmonian dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Asahan.

Katanya, perbezaan fahaman serta pilihan politik tidak seharusnya menjadi penghalang kepada hubungan baik sesama masyarakat, sebaliknya semangat kebersamaan perlu terus dipupuk demi kesejahteraan bersama.

“Orang Asahan, keluarga saya semua di DUN Asahan, Melayu, Cina, India dan masyarakat Orang Asli, jaga kesihatan, jaga hubungan, jaga semangat perpaduan.

“Biar kita berbeza parti, tetapi kita tetap sama warga Malaysia, rakyat Melaka dan penduduk Asahan,” katanya.

Pada PRN Melaka 2021, Fairul Nizam memenangi kerusi DUN Asahan dengan memperoleh 5,659 undi dan majoriti 2,993 undi. Beliau kemudian dilantik sebagai Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka pada April 2023.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

205
Kongsi :
Previous post 336 PENYERTAAN BUKTI POTENSI ANAK MUDA DALAM DUNIA DATA