PRN MELAKA: KERJASAMA BN-PN SERASI, HARAP DITERJEMAH KEPADA SOKONGAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER MOLEK 12 November – Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diharap dapat diterjemahkan kepada sokongan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama itu memperlihatkan keserasian positif meskipun kedua-dua parti pernah menjadi seteru politik selama lebih lima dekad.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pengalaman kerjasama di Negeri Sembilan sebelum ini menjadi antara asas untuk membina keserasian sama di Melaka.

“Saya fikir ini adalah satu keserasian yang baik dan saya harap ia bukan sekadar untuk menyatukan sokongan kedua-dua parti yang berseteru lebih daripada lima dekad.

“Kita telah mencuba di Negeri Sembilan dan ini kali kedua di Negeri Melaka. Kita harap insya-Allah dapat menterjemahkan kerjasama ini dengan sebaik-baiknya dalam bentuk sokongan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Melaka 2026 di sebuah dewan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, keserasian yang dibina menerusi kerjasama berkenaan perlu diperkukuhkan bagi memastikan hubungan antara kedua-dua parti terus terjalin meskipun mempunyai latar belakang serta sejarah persaingan politik berbeza.

Beliau turut berharap kerjasama BN dan PN di Melaka mendapat Sokongan rakyat, sekali gus membolehkan kesepakatan yang dibentuk di peringkat kepimpinan diterjemahkan menerusi sokongan jentera dan penerimaan masyarakat di peringkat akar umbi.

“Kerjasama ini juga diharapkan tidak terhenti sebagai kesepakatan di peringkat kepimpinan parti semata-mata, sebaliknya dapat diterjemahkan menerusi sokongan jentera serta penerimaan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

229
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BEZA PENDIRIAN POLITIK, TIDAK JEJAS KERJASAMA NASIONAL – ZAHID