ABDUL HADI GUNA ANALOGI WUDUK JELASKAN KEWAJIPAN MENGUNDI

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

PAYA RUMPUT 13 November – Kewajipan mengundi bagi memilih kerajaan diumpamakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang seperti mengambil wuduk yang menjadi syarat sah menunaikan solat.

Beliau berkata, sebagaimana wuduk menjadi wajib kerana diperlukan untuk menunaikan solat, penyertaan dalam pengundian turut dikaitkannya dengan kewajipan membina perpaduan dan memperoleh kuasa pemerintahan Islam.

“Contohnya kita ambil wuduk, air sembahyang. Asalnya tak wajib. Tapi kalau sembahyang tu wajib, syarat sah sembahyang kena ada wuduk. Maka wuduk kerana nak sembahyang wajib.

“Begitulah perpaduan. Perpaduan ni wajib bagi orang Islam. Kita kena bersatu.

“Maka bersatu kerana nak dapat kuasa Islam adalah wajib termasuklah mengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perjumpaan Bersama YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang di kediaman Datuk Wira Hj Yasin Hj Sarif di Kampung Paya Rumput, di sini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Rais Yasin dan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Zulkifli Ismail.

Menurutnya, pengundian penting dalam menentukan kepimpinan kerana proses berkenaan bertujuan memilih kerajaan yang akan memerintah.

“Mengundi ni untuk memilih kerajaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kegagalan keluar mengundi serta perpecahan dalam kalangan mereka boleh menyebabkan kehilangan kekuatan politik.

“Dan sebab itulah perpaduan ini sangat penting,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

146
Kongsi :
Previous post MELAKA SASAR JADI HAB SEMIKONDUKTOR, TEKNOLOGI CANGGIH – AB RAUF