
JENTERA BN-PN JANGAN TERLALU SELESA, PASTIKAN PENGUNDI KELUAR AWAL – RAIS
PAYA RUMPUT 13 November – Jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak dibuai keyakinan pada penghujung kempen, sebaliknya memastikan penyokong keluar mengundi seawal mungkin esok.
Timbalan Pengerusi BN Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, penerimaan positif sepanjang kempen perlu disusuli gerak kerja menggerakkan pengundi atau ‘Get Out The Vote’ (GOTV) supaya sokongan yang dikenal pasti dapat diterjemahkan kepada undi.
“Saya tidak mahu… terutamanya jentera saya di N.11, DUN Sungai Udang, berasa ‘confident’, berasa selesa.
“Complacency (sikap yang terlalu selesa) ini adalah satu sifat yang saya tolak sama sekali.
“Kita mesti berhati-hati dan ketika ‘D-Day’, yang paling penting adalah proses GOTV itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang di kediaman bapanya, Datuk Wira Hj Yasin Hj Sarif di Kampung Paya Rumput, di sini, hari ini.
Rais yang juga calon nombor tiga mewakili BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang berkata, jentera perlu menghubungi pengundi putih iaitu penyokong yang dikenal pasti dalam senarai masing-masing bagi memastikan mereka keluar menunaikan tanggungjawab.
“Jadi saya merayu dan memohon kepada mereka, jangan sesekali leka dan alpa. Seawal mungkin mesti keluarkan pengundi putih, iaitu yang telah kita ada dalam list dan senarai kita, mesti ‘keep on calling’.
“Kalau ‘calling’ tak dapat, mesti cari sampai ke rumah,” katanya.
Menurutnya, tindakan susulan itu perlu diselaraskan dengan petugas yang menguruskan kenderaan supaya persiapan membawa pengundi dapat dilaksanakan dengan teratur.
Beliau berkata, struktur gerak kerja sudah lengkap dan tumpuannya kini adalah memastikan jentera bersedia melaksanakan tugas pada hari pengundian.
Sehubungan itu, Rais akan meninjau semua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam Parlimen Tangga Batu bermula hari ini, bukan hanya di DUN Sungai Udang, bagi memastikan persiapan GOTV berjalan lancar.
Mengulas penerimaan pengundi, beliau berkata, interaksinya sepanjang kempen semalam dan hari ini memperlihatkan momentum yang semakin positif terhadap BN dan PN, termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu dan bukan Melayu.
“Daripada senyuman itu, sebagai orang politik yang bertanding, saya ada rasa selesa.
“Tetapi bagaimanapun kita hendak pastikan senyuman itu boleh masuk dalam hati para pengundi dan akhirnya pada esok mereka yang atas pagar atau sedang mencari ilham memilih parti mana, akan dibukakan hati Allah S.W.T untuk memberi undi kepada BN dan PN,”katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

