AB RAUF MAHU KOA DENKO BUKA LEBIH BANYAK PELUANG KEPADA SYARIKAT TEMPATAN

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 13 November – Peluasan operasi KOA Denko Malaysia Sdn Bhd di Melaka diharap membuka lebih banyak ruang kerjasama dengan syarikat tempatan khususnya dalam sektor logistik dan pembekalan keperluan industri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, penglibatan syarikat tempatan dalam ekosistem operasi pelabur antarabangsa penting bagi memastikan kelancaran proses pengeluaran.

Menurutnya, syarikat tempatan berupaya memainkan peranan sebagai pembekal pelbagai keperluan termasuk perkhidmatan logistik yang diperlukan bagi menyokong perjalanan operasi KOA Denko.

“Ekosistem perniagaan yang saling melengkapi bukan sahaja membantu kelancaran operasi pelabur, malah membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk turut berkembang menerusi rantaian bekalan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Grand Opening Ceremony KOA Denko Malaysia Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pengarah Urusan KOA Denko Malaysia Sdn Bhd Akira Kinoshita dan Pengerusi KOA Denko Malaysia Sdn Bhd Kazuaki Kitazawa.

Terdahulu dalam ucapannya Ab Rauf turut berharap agar perkongsian jangka panjang bersama KOA Denko akan membawa lebih banyak peluang yang lebih besar kepada Melaka.

“Saya ingin melihat lebih banyak syarikat tempatan bekerjasama dengan KOA Denko terutamanya dalam membekalkan jentera, peralatan, dan perkhidmatan industri berkaitan.

“Saya juga menghargai kerjasama awal KOA Denko dengan Pusat Pembangunan Kemahiran dan Keusahawanan Perindustrian Melaka (MISDEC) dalam membangunkan bakat tempatan.

“Saya berharap kita dapat memperkasakan lagi kerjasama ini melalui lebih banyak latihan praktikal dan pendedahan industri, bagi menyediakan graduan kita untuk memegang peranan yang berkemahiran,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

134
Kongsi :
Previous post ABDUL HADI GUNA ANALOGI WUDUK JELASKAN KEWAJIPAN MENGUNDI