
PRN MELAKA: KEMENANGAN HATRIK BUKAN ALASAN UNTUK BERMEGAH – AHMAD ZAHID
AYER KEROH 14 November – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 bukan alasan untuk kepimpinan serta jentera gabungan itu berasa selesa atau bermegah dengan pencapaian berkenaan.
Sebaliknya, Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mandat yang diberikan rakyat perlu diterima dengan penuh kesyukuran, kerendahan hati dan keinsafan kerana ia hadir bersama amanah besar.
Beliau berkata, kemenangan itu menuntut BN-PN menunaikan setiap aku janji manifesto serta memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh rakyat Melaka tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.
“Kemenangan hatrik ini, tiga kali berturut-turut, bukan alasan untuk kita semua bermegah, sebaliknya kami menerimanya dengan penuh kesyukuran, kerendahan hati dan keinsafan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di BN Command Centre, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah PRN Melaka Ke-16, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan serta beberapa kenamaan lain.
Menurut Ahmad Zahid, kejayaan memperoleh mandat besar itu perlu diterjemahkan melalui komitmen berterusan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat serta memastikan setiap janji yang dibuat sepanjang kempen dilaksanakan.
“Kami sedar bahawa mandat yang diberikan membawa amanah besar untuk melunaskan setiap aku janji manifesto serta memberikan khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Negeri Melaka tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang,” katanya.
BN-PN secara tidak rasmi memperoleh 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka Ke-16, sekali gus membolehkan gabungan itu membentuk Kerajaan Negeri bagi penggal baharu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


