DR. MOHD YADZIL PERTAHAN BEMBAN, MENANG DENGAN MAJORITI 7,741

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

AYER KEROH 15 November – Calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Mohd Yadzil Yaakub mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 dengan majoriti 7,641 sekali gus memperoleh mandat baharu untuk terus memimpin kawasan itu.

Katanya, kemenangan selesa itu membuktikan muafakat antara PN dan Barisan Nasional (BN) berjaya diterjemahkan menerusi sokongan pengundi di 24 kerusi yang ditandingi gabungan strategik itu.

Menurutnya, kejayaan itu juga hasil kesepakatan dan keikhlasan semua jentera parti, kepimpinan serta komponen parti termasuk rakan strategik BN yang bekerja bersama sepanjang tempoh berkempen.

“Alhamdulillah, kemenangan ini menunjukkan perpindahan undi berlaku dan segala retorik serta sentimen yang dibawa pihak lawan tidak mampu menjejaskan kerjasama baik antara PN dan BN.

“Ini sebenarnya kemenangan bersama, kemenangan kita dan gelombang biru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengumuman keputusan PRN Melaka Ke-16 di Command Center BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam.

Mengulas kerjasama kedua-dua gabungan itu yang sebelum ini berbeza haluan, Mohd Yadzil berkata itu adalah perkara biasa, namun usaha mengharmonikan hubungan peringkat akar umbi berjaya memastikan gerak kerja kempen berjalan lancar.

“Bagi saya ini (beza pendapat) biasa dan kami bersyukur taktik atau strategi dilaksanakan sejak dari awal meredakan rasa tidak puas hati, sekali gus melancarkan kerja-kerja berkempen selama dua minggu.

“Kerjasama di Bemban ini bagi saya sebenarnya ‘benchmark’ kepada gabungan yang menunjukkan sebenarnya kerjasama itu betul-betul berlaku dan perpindahan undi juga berlaku,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1023
Kongsi :
Previous post AB RAUF DIJANGKA ANGKAT SUMPAH KETUA MENTERI HARI INI