PENTADBIRAN TERBUKTI BERKESAN, PELANTIKAN SEMULA AB RAUF SANGAT WAJAR

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

REMBIA 20 November – Pelantikan semula Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 bagi penggal kedua disifatkan sebagai langkah paling tepat bersandarkan rekod cemerlang beliau menerajui Negeri Melaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Ahmad Norazril Abdul Aziz berkata, momentum kecemerlangan pentadbiran tersebut perlu dikekalkan bagi memastikan pelbagai agenda masa depan Melaka terus dipacu dengan jayanya.

Menurutnya, corak kepimpinan Ab Rauf telah terbukti berkesan dan amat wajar untuk diteruskan demi kesinambungan kestabilan serta kemakmuran sosioekonomi negeri.

“Itulah langkah yang sewajarnya. Sebab kita tahu berdasarkan rekod pencapaian tiga tahun sebelum ini, beliau menerajui Negeri Melaka cukup cemerlang.

“Pelbagai agenda masa depan perlu diteruskan dan tentunya amat wajar Datuk Seri Utama terus memimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Rembia, di sini, pada Selasa.

Ahmad Norazril bertekad untuk memastikan DUN Rembia tidak ketinggalan daripada arus pembangunan menerusi perancangan strategik jangka panjang yang sejajar dengan wawasan kepimpinan utama Kerajaan Negeri.

Beliau menegaskan, misi utama pentadbirannya bukan sekadar tertumpu pada inisiatif 100 hari pertama, sebaliknya perancangan holistik merangkumi tempoh lima tahun perkhidmatan adalah jauh lebih kritikal bagi memperbaiki mutu kehidupan rakyat.

Bagi merealisasikan hasrat tersebut, beliau dalam masa terdekat akan mengatur pertemuan rasmi bersama pengarah-pengarah dan agensi kerajaan yang berkaitan.

Kolaborasi strategik ini adalah satu keperluan bagi meneliti semula sebarang kemudahan awam dan infrastruktur yang berdepan masalah sebelum ini, agar ia dapat dinaik taraf dengan segera mengikut keperluan semasa.

Beliau turut mengulas mengenai cadangan untuk mewujudkan saluran aduan rasmi untuk DUN Rembia melalui aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pelaksanaan sistem itu perlu dirangka secara terperinci terlebih dahulu dengan kakitangan Japerun bagi memastikan ia bukan sekadar platform mesej biasa yang akhirnya tidak memberi manfaat maksimum kepada penduduk.

Tegasnya, inisiatif medium aduan itu kelak mesti diintegrasikan dengan barisan kepimpinan di peringkat kampung agar setiap isu dapat diselesaikan dengan lebih efisien.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

260
Kongsi :
Previous post HAMEED SEDIA PIKUL APA JUA AMANAH SEKIRANYA DILANTIK SEMULA SEBAGAI EXCO