CIKGU MUS MAHU PINTU AIR GANGSA DIBUKA LEBIH AWAL, JANGAN TUNGGU PARAS BAHAYA

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

SERI NEGERI 18 November – Pembukaan pintu kawalan air di kawasan Gangsa lebih awal daripada kebiasaan dicadangkan sebagai langkah mitigasi bagi mengurangkan risiko limpahan air yang boleh menjejaskan penempatan berisiko banjir di Durian Tunggal.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Dr. Mustafa Musa berkata, langkah itu diambil susulan pemantauan di beberapa lokasi panas banjir serta perbincangan bersama pegawai teknikal berkaitan bagi mengenal pasti tindakan pencegahan yang boleh dilaksanakan segera.

Menurutnya, sebuah pintu air di kawasan berkenaan sudah mula dibuka sejak semalam bagi membantu mengawal aliran air yang meningkat dari arah utara, khususnya dari kawasan Alor Gajah.

“Saya memantau semua lokasi panas banjir dan turut berada di pintu air kawasan Gangsa. Saya sudah berbincang dengan pegawai teknikal berkaitan supaya pintu air itu dapat dibuka lebih awal sekiranya paras air menunjukkan peningkatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Mustafa berkata, pendekatan lebih fleksibel berdasarkan budi bicara dan penilaian pegawai teknikal perlu dipertimbangkan bagi membolehkan tindakan awal diambil tanpa perlu menunggu paras sungai mencecah tahap bahaya 2.9 meter.

Katanya, beliau akan mengadakan pemantauan susulan hari ini dan mengemukakan cadangan supaya dua atau tiga lagi pintu air dibuka sekiranya keadaan aliran air mengizinkan.

“Kita akan cuba sedaya upaya supaya pintu air dapat dibuka lebih awal bagi mengelakkan paras air naik terlalu cepat di kawasan Durian Tunggal,” katanya.

Beliau berkata, langkah pencegahan itu penting bagi mengurangkan risiko banjir yang bukan sahaja boleh menjejaskan kediaman penduduk, malah kemudahan awam termasuk bangunan sekolah serta penempatan golongan rentan seperti pesakit terlantar.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

188
Kongsi :
Previous post BUKAN SOAL JAWATAN EXCO, KHIDMAT RAKYAT JADI KEUTAMAAN ‘AH SEM’