BUKAN SOAL JAWATAN EXCO, KHIDMAT RAKYAT JADI KEUTAMAAN ‘AH SEM’

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

SERI NEGERI 18 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berhubung keputusan pelantikan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka bagi penggal baharu.

Beliau berkata, Ketua Menteri mempunyai penilaian tersendiri terhadap prestasi dan komitmen setiap wakil rakyat sepanjang lima tahun lalu sebelum menentukan barisan pentadbiran yang bakal dibentuk.

Katanya, beliau bersedia menerima apa juga keputusan yang dibuat termasuk sekiranya tidak lagi disenaraikan sebagai anggota Exco.

“Saya serahkan kepada Ketua Menteri kerana beliau sudah melihat sendiri bagaimana kita bekerja selama lima tahun.

“Apa juga keputusan yang dibuat oleh Ketua Menteri, kita akan akur dan patuh kerana keutamaan kepimpinan negeri adalah demi rakyat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Pelantikan barisan Exco Melaka dijadual berlangsung esok, dengan Ketua Menteri sebelum ini mengesahkan seramai 10 wakil rakyat akan menganggotai barisan pentadbiran Kerajaan Negeri bagi penggal baharu.

Untuk rekod, Hee Sem sebelum ini memegang jawatan Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna pada 2021 hingga 2023 dan kemudian diberi amanat menggalas portfolio Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan pada 2023 hingga November 2026.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

309
Kongsi :
Previous post SITI AISYAH PANTAU ISU LAPAN RUMAH RETAK, MAHU TINDAKAN SEGERA