
ACIK ZUL MAHU JAPERUN JADI TEMPAT RAKYAT MENGADU, KEBAJIKAN JADI KEUTAMAAN
SERI NEGERI 19 November – Kebajikan masyarakat dan memastikan setiap rintihan penduduk mendapat perhatian menjadi antara keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin atau lebih dikenali sebagai Acik Zul.
Beliau berkata, pendekatan kepimpinan mesra rakyat perlu diterapkan di peringkat DUN bagi memastikan penduduk bukan sahaja mendapat perhatian dari aspek pembangunan, malah turut dibantu ketika berdepan kesulitan hidup.
Menurutnya, segala bentuk aduan dan permohonan bantuan yang dikemukakan penduduk akan diberi perhatian serta diselaraskan dengan agensi berkaitan mengikut keperluan.
“Perkara pertama yang saya utamakan ialah kebajikan masyarakat. Saya mahu rakyat melihat kepimpinan di peringkat DUN sebagai kepimpinan yang mesra rakyat.
“Maksudnya, pemimpin sentiasa berada di sisi rakyat dalam apa juga situasi, sama ada berkaitan pembangunan mahupun bantuan-bantuan lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sehubungan itu, Zulkiflee menggalakkan penduduk supaya tidak segan untuk menyalurkan sebarang aduan atau permasalahan secara terus kepada Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) atau Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing.
Katanya, setiap aduan yang diterima akan dibawa ke mesyuarat JAPERUN untuk dibincangkan sebelum tindakan susulan diselaraskan dengan pihak berkaitan.
“Kepada rakyat DUN Taboh Naning, jika ada sebarang permasalahan, jangan malu untuk datang ke JAPERUN atau berjumpa dengan Pengerusi JPKK. Setiap masalah itu nanti akan kita bangkitkan dalam mesyuarat JAPERUN,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan memainkan peranan sebagai penghubung antara penduduk dengan agensi kerajaan bagi memastikan setiap rintihan dan permohonan bantuan, termasuk membabitkan keperluan peruntukan kewangan, dapat disalurkan kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


