
AB RAUF ADA KEYAKINAN TERHADAP BARISAN EXCO BAHARU
SERI NEGERI 19 November – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh yakin barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dipilihnya mampu memikul tanggungjawab masing-masing dalam menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.
Beliau berkata, pemilihan setiap individu dalam barisan baharu itu dibuat selepas mempertimbangkan keupayaan mereka untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan.
Menurutnya, setiap Exco juga perlu bersedia menggalas tanggungjawab berbeza selain memperluas pengetahuan mengenai pentadbiran kerajaan.
“Bukan saya yakin semata-mata, saya sudah fikir dan memilih mereka kerana saya rasa mereka semua boleh buat yang terbaik.
“Walaupun ada yang mendapat portfolio atau tanggungjawab baharu, bagi saya semua orang kena merasa tanggungjawab yang berbeza,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Terdahulu, kesemua Exco yang dilantik mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta lain-lain kenamaan.
Ketua Menteri berkata, pendekatan itu juga bertujuan memastikan setiap anggota Exco memperoleh pengalaman lebih luas dalam pelbagai bidang pentadbiran sebagai persediaan memikul tanggungjawab kepimpinan pada masa hadapan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


