DI USIA 65 TAHUN, AB RAUF BUKTIKAN IMPIAN ANAK KAMPUNG BOLEH JADI NYATA

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BANGI 20 November – Tidak pernah terbayang seorang anak kampung mampu berdiri di sebuah universiti tersohor dengan menyarungkan jubah graduasi dan menggenggam gelaran Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) pada usia 65 tahun.

Namun, itulah pencapaian yang dilakar Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh selepas berjaya menamatkan pengajian kedoktorannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sekali gus membuktikan usia bukan penghalang untuk terus mengejar impian.

Bagi Ab Rauf, kejayaan itu menjadi satu lagi babak bermakna dalam perjalanan kehidupannya yang dipenuhi cabaran, pengorbanan dan pengalaman.

“Sejujurnya, sepanjang 65 tahun perjalanan kehidupan saya tidak pernah terlintas di fikiran bahawa seorang anak kampung seperti saya, suatu hari nanti akan berdiri di sebuah universiti tersohor, mengenakan jubah graduasi dan bergelar Doktor Falsafah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Penyelia dan Pemakaian Jubah Graduan Kedoktoran Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB) di Dewan Persidangan CRIM, UKM, di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, kejayaan itu membuktikan impian tidak mengenal batas usia, malah setiap individu perlu sentiasa membuka ruang untuk menimba ilmu tanpa mengira kedudukan, pengalaman mahupun latar belakang.

Katanya, perjalanan menyambung pengajian bukan sesuatu yang mudah kerana beliau perlu mengimbangi tanggungjawab mentadbir negeri dengan tuntutan akademik, selain berdepan keletihan dan keterbatasan masa.

“Setinggi mana pun kedudukan kita, seluas mana pun pengalaman kita, jangan sesekali merasakan bahawa kita sudah tidak perlu lagi menuntut ilmu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

305
Kongsi :
Previous post MISI 100 HARI CIKGU MUS DI DURIAN TUNGGAL: SELESAI ADUAN TERTUNGGAK, BELA PESAKIT TERLANTAR
Next post KINI DALAM KERAJAAN, RAFIE MAHU KHIDMAT LEBIH DEKAT DENGAN RAKYAT