‘DI SEBALIK DBA INI, ADA PENGORBANAN ISTERI DAN KELUARGA’ – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

BANGI 20 November – Kejayaan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh memperoleh Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) bukan sekadar hasil usaha sendiri, malah turut disokong pengorbanan isteri, anak-anak serta ahli keluarga yang memberikan ruang kepadanya meneruskan pengajian.

Beliau berkata, sokongan keluarga amat bermakna sepanjang perjalanan menamatkan pengajian, terutama ketika perlu membahagikan masa antara tanggungjawab politik, pentadbiran negeri dan penyelidikan akademik.

Katanya, pengorbanan keluarga yang memahami tuntutan tugas serta pengajiannya membolehkan beliau meneruskan usaha sehingga berjaya mencapai matlamat berkenaan.

“Saya mengucapkan terima kasih terutamanya kepada seluruh keluarga saya, isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz, anak-anak, cucu-cucu serta abang dan kakak saya yang ada dalam dewan ini, kerana mereka semua telah banyak mengorbankan masa untuk saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Ramah Mesra Sempena Penganugerahan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) APEL Q UKM-Graduate School of Business (UKM-GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, kejayaan itu juga tidak mungkin dicapai tanpa bimbingan penyelia, pensyarah dan individu yang membantu mengatur jadual pengajian serta memberikan galakan sepanjang proses penyelidikan.

Menurutnya, pencapaian berkenaan bukan hanya membawa makna kepada dirinya, malah menjadi penghargaan kepada semua pihak yang bersama-sama melalui perjalanan tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

148
Kongsi :
Previous post SELESAIKAN ADUAN RAKYAT KEUTAMAAN ABDUL RAZAK
Next post AB RAUF BERSYUKUR MAMPU IMBANGI TUGAS PIMPIN NEGERI, BERJAYA DALAM AKADEMIK