TIGA TAHUN JADI SAKSI, AB RAUF BUKTIKAN TIADA YANG MUSTAHIL

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANGI 21 November – Mengimbangi tanggungjawab menerajui pentadbiran negeri dengan tuntutan pengajian di peringkat kedoktoran memerlukan pengorbanan masa yang bukan sedikit buat Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) yang disempurnakannya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengambil masa tiga tahun, termasuk menjalankan penyelidikan terperinci bersama penyelia serta pensyarah universiti berkenaan.

Menurutnya, komitmen terhadap pengajian itu memerlukan beliau menyusun masa dengan teliti supaya tanggungjawab sebagai Ketua Menteri dan tuntutan akademik dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Saya terpaksa mengorbankan masa saya untuk membuat kajian ini yang mengambil masa tiga tahun bersama dengan penyelia dan juga pensyarah-pensyarah UKM yang bersama-sama dengan saya.

“Alhamdulillah, dalam tempoh itu,
kita telah membuat kajian yang begitu terperinci dan kita telah mendapat maklum balas yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) yang disampaikan Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Majlis Konvokesyen Ke-54 UKM di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), di sini, hari ini.

Ab Rauf berkata, sepanjang tempoh pengajian, beliau turut memperuntukkan masa setiap bulan untuk mengikuti pembelajaran dan melaksanakan penyelidikan dengan tajuk ‘Pengurusan Teknologi Digital Dalam Kalangan Komuniti Kampung Tradisional: Analisis Inisiatif Kampung Digital Melaka’.

Beliau yakin hasil penyelidikan mengenai inisiatif berkenaan berpotensi dapat menjadi rujukan kepada negeri dan negara lain selain memberi impak besar kepada generasi akan datang.

“Saya harap Kampung Digital ini bukan sahaja memberi manfaat kepada Negeri Melaka, insya-Allah akan memberi manfaat kepada seluruh pentadbiran kerajaan di seluruh Malaysia dengan rakyat mendapat maklumat yang tepat dan cepat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

311
Kongsi :
Previous post AB RAUF BERGELAR DOKTOR PENTADBIRAN PERNIAGAAN