
ILMU BUKAN UNTUK DIRI, AB RAUF HADIAHKANNYA KEPADA RAKYAT
BANGI 21 November – Kejayaan menggenggam segulung ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) bukan sekadar pengiktirafan akademik buat Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh, sebaliknya menjadi peluang untuk menghadiahkan hasil penyelidikan kepada rakyat.
Beliau berkata, kajian mengenai inisiatif Kampung Digital Melaka yang diangkat ke peringkat akademik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diharapkan dapat menjadi rujukan kepada generasi akan datang dalam memperkukuh sistem pengurusan masyarakat.
Menurutnya, penyelidikan itu memberi penekanan kepada penyusunan alamat kediaman kampung tradisional secara lebih sistematik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Ini adalah satu pencapaian dalam bidang akademik yang saya hadiahkan untuk rakyat Melaka dalam kajian saya mengenai Kampung Digital yang telah dilakukan penyelidikan lengkap.
“Ia boleh menjadi rujukan untuk generasi akan datang dalam penyusunan dan juga sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima DBA pada Majlis Konvokesyen Ke-54 UKM di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, ilmu yang diperoleh menerusi penyelidikan berkenaan tidak seharusnya terhenti sebagai pencapaian peribadi, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk membangunkan kaedah pengurusan masyarakat yang lebih tersusun.
Katanya, perubahan dunia yang semakin bergantung kepada teknologi digital menuntut pendekatan baharu dalam pentadbiran, termasuk pengurusan komuniti di kampung tradisional.
“Ilmu itu penting kerana ilmu yang penting ini yang saya membuat kajian ini ialah untuk digunakan oleh generasi-generasi yang mendatang.
“Pastinya rujukan yang telah saya perolehi daripada kajian ini akan memberikan satu laluan yang terbaik untuk jadi generasi akan datang dalam dunia serba digital ini,” katanya.
Beliau berharap hasil penyelidikan itu dapat memberi manfaat lebih luas, bukan sahaja kepada masyarakat Melaka, malah kepada pentadbiran kerajaan di seluruh negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

