CALON SPM HARI INI, PEMIMPIN MELAKA MASA DEPAN

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KLEBANG 23 November – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini berpotensi menjadi pemimpin negeri pada masa depan, termasuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Menteri, menteri mahupun Pengarah Pendidikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pelajar perlu melihat peperiksaan SPM sebagai antara langkah awal dalam menentukan hala tuju kehidupan serta membina asas untuk mencapai cita-cita masing-masing.

Menurutnya, setiap pelajar mempunyai peluang untuk melakar masa depan tersendiri sekiranya memanfaatkan ilmu dan pendidikan yang diperoleh sepanjang berada di bangku sekolah.

“Mungkin satu hari nanti anak-anak berdiri di hadapan tempat saya berdiri menjadi seorang Ketua Menteri. Mungkin berdiri menjadi seorang menteri. Mungkin berdiri sebagai Pengarah Pendidikan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Santunan Kasih YAB Ketua Menteri Melaka Bersama Calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Exco Kesihatan dan Modal Insan Datuk Wira Lim Ban Hong; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, pelajar perlu mula memikirkan bidang yang ingin diceburi selepas SPM sama ada melanjutkan pengajian ke universiti, mengikuti pengajian di luar negara atau memilih laluan kerjaya mengikut minat masing-masing.

Katanya, bidang seperti kejuruteraan, seni bina, perundangan, perubatan dan pelbagai profesion lain memerlukan persediaan serta kesungguhan dalam pendidikan.

Beliau turut mengingatkan pelajar supaya tidak mengabaikan nilai adab, tatasusila dan penghormatan kepada ibu bapa serta guru yang menjadi asas pembentukan diri.

“Saya nak 15 tahun, 20 tahun akan datang, anak-anak berdiri menjadi seorang pemimpin untuk memimpin anak bangsa pada masa depan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

231
Kongsi :
Previous post RAIS INGATKAN BATAS ISU AGAMA, PERMOHONAN MAAF BELUM CUKUP REDAKAN POLEMIK