MELAKA PERKUKUH PELANCONGAN KESIHATAN, TEROKA HAB PERUBATAN TRADISIONAL

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SERI NEGERI 25 November – Melaka berhasrat memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan kesihatan pilihan di rantau ini, selain meneroka potensi pembangunan hab perubatan tradisional.

Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, kualiti perkhidmatan, layanan serta kemudahan perubatan moden yang disediakan hospital di negeri ini menjadi antara tarikan kepada pesakit dari luar negara.

Menurutnya, maklum balas daripada beberapa hospital yang mengendalikan pesakit antarabangsa, sektor pelancongan perubatan Melaka masih mempunyai ruang untuk terus dikembangkan.

“Kerajaan Negeri juga akan meneliti potensi sektor herba dan perubatan tradisional menerusi sesi libat urus bersama persatuan serta pengusaha berkaitan bagi memahami operasi dan aktiviti yang dijalankan.

“Kita melihat wujud potensi untuk membangunkan bidang herba dan perubatan tradisional. Sebelum ini saya difahamkan Hospital Pakar Putra pernah mengadakan perbincangan bersama universiti di China untuk mewujudkan hab perubatan tradisional yang menggabungkan perubatan moden dan tradisional.

“Perkara ini akan kita teliti secara lebih mendalam bagi menilai kesesuaian kerjasama tersebut kerana ia merupakan peluang baik untuk dikembangkan di Melaka,” katanya katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Seri Negeri, di sini, pada Selasa.

Ban Hong berkata, sesi libat urus berkenaan juga penting bagi memastikan sebarang perancangan pembangunan sektor perubatan tradisional mengambil kira peruntukan akta dan garis panduan sedia ada di peringkat Persekutuan.

Dalam pada itu, beliau menegaskan usaha memperkukuh kesihatan komuniti akan terus diberi perhatian menerusi program kesedaran dan pencegahan penyakit berterusan, berlandaskan prinsip mencegah lebih baik daripada mengubati.

Katanya, kempen mengurangkan pengambilan gula, mengamalkan gaya hidup sihat, mencapai sasaran 10,000 langkah sehari serta berhenti merokok akan terus dipergiatkan dengan kerjasama pelbagai pihak.

Beliau turut memaklumkan pihaknya akan meninjau perkembangan projek pembinaan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak yang sedang dilaksanakan, selain mendapatkan maklumat lanjut berhubung cadangan pembinaan hospital baharu di kawasan Hang Tuah Jaya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

277
Kongsi :
Previous post MUSTAFA TUMPU BANTU RAKYAT, PERCEPAT BANTUAN PESAKIT TERLANTAR