CARUMAN PERKESO: BAN HONG MAHU TERUS BELA PENGAMAL MEDIA SAMBILAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

SERI NEGERI 29 November – Inisiatif caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi pengamal media berstatus sambilan (stringer) disifatkan sebagai usaha positif yang wajar diteruskan bagi memastikan kebajikan serta perlindungan sosial golongan berkenaan terus diberi perhatian.

Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, beliau dimaklumkan inisiatif itu telah dilaksanakan sebelum ini dan bersedia meneruskannya bagi membantu pengamal media di Melaka.

“Saya fikir itu merupakan satu usaha yang baik dan telah pun dimulakan. Ia sesuatu yang positif untuk kita teruskan bagi membantu para rakan media kita,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Seri Negeri.

Menurutnya, pihaknya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada PERKESO berhubung syarat caruman majikan serta sebarang pengecualian yang mungkin melibatkan pengamal media berstatus sambilan.

Katanya, maklumat terperinci diperlukan bagi mengenal pasti kategori pekerja yang diliputi serta bentuk perlindungan yang boleh dimanfaatkan golongan berkenaan.

“Saya akan mendapatkan maklumat lanjut dan senarai liputan penuh daripada pihak PERKESO berhubung kategori pekerja yang diliputi serta perkara yang melibatkan pengecualian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ban Hong berkata, sasaran gerak kerja 100 hari pertama bagi portfolionya akan dibincangkan bersama portfolio lain dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan datang.

Menurutnya, pelaksanaan agenda berkenaan akan diselaraskan secara bersama selaras dengan pendekatan Kerajaan Negeri yang bergerak berdasarkan manifesto bersama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

132
Kongsi :
Previous post MELAKA PERUNTUK RM1.2 JUTA PERKASA PROGRAM PERPADUAN
Next post TOK RAUF LUANG MASA SARAPAN BERSAMA RAKYAT