MUFC kecundang lagi di laman sendiri

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) pulang hampa tanpa sebarang mata di hadapan 690 penyokong sendiri apabila ditundukkan Selangor FC, 2-3, dalam aksi sebentar tadi.

Bekas penyerang import skuad Hang Tuah Ifedayo Olusegun menjadi duri dalam daging buat MUFC apabila menjaringkan dua gol buat Selangor FC di separuh masa kedua sebelum Muhammad Syahmi Safari menjaringkan gol kemenangan pada lewat permainan.

Dalam aksi di di Stadium Hang Jebat itu, pelawat terlebih dahulu menguji gawang yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat menerusi Ahmad Danial Ahmad Asri, namun percubaannya sedikit tersasar.

PEMAIN Melaka United, Sony Norde (kiri) bersaing dengan pemain Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar (kanan) pada perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi. Foto: MR. Azli

Pada minit ke-24 giliran MUFC pula memperoleh peluang menerusi Ahmad Syamim Yahya melakukan rembatan leret ke arah gol, namun ia dapat dibaca penjaga gol Selangor yang sempat menepis bola berkenaan.

Sedang aksi dilihat bakal berakhir seri tanpa jaringan sebelum rehat babak pertama, MUFC dihadiahkan sepakan penalti susulan tindakan keras pertahanan pelawat, Jordan Ayimbila menjatuhkan S Kumaahran.

Stefan Nikolic yang dipertanggungjawabkan mengambil sepakan itu tenang menewaskan Mohd Khairulazhan Mohd Khalid untuk memberikan gol pendahuluan buat tuan rumah.

Bersambung di babak kedua, Selangor FC tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan hasil jaringan Ifedayo yang bijak mencuri peluang dalam aksi kucar-kacir di dalam kotak penalti tuan rumah.

PEMAIN pertahanan Selangor FC, Jordan Ayimbila (kanan) menyekat kemaraan pemain Melaka United, S Kumaahran (kiri) pada perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi. Foto: MR. Azli

MUFC yang tersentak kembali memperkemaskan kedudukan dan hasilnya mereka sekali lagi di depan pada minit ke-58 hasil jaringan Ahmad Syamim yang menanduk masuk bola hantaran Kumaahran berpunca daripada sepakan penjuru.

Namun, kegembiraan itu tidak dapat bertahan lama apabila Selangor FC kembali menyamakan kedudukan 12 minit selepas itu sekali lagi menerusi Ifedayo.

Berbaki dua minit masa sebenar perlawanan, Selangor FC berjaya memperoleh gol kemenangan hasil jaringan pemain gantian Muhammad Syahmi Safari yang berjaya merembat deras bola menewaskan Khairul Fahmi dan keputusan itu kekal selepas pengadil perlawanan Hamdan Awang meniupkan wisel penamat.

Untuk rekod ini merupakan kekalahan ketiga diraih MUFC dan yang kedua dicatatkan dalam aksi di laman sendiri.

Daripada sembilan perlawanan MUFC kekal mengutip tujuh mata dan kini menghuni kedudukan ke-10 Liga Super setakat ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

745
Kongsi :
Previous post Tiga cedera, gerai tebu dirempuh pemandu positif dadah
Next post Pengarah antara lima ditahan bersabit video iklan judi raya
Ubah saiz-+=